Sunday, 18 March 2012
Bisikan Cinta Pertama
Cinta itu berbisik
Menggamit setia sebuah kasih abadi
Bertaut dalam sudut hati
Yang jauhnya sukar aku jangkau
Aku terpesona dengan ciptaan Ilahi
Sebentar aku hilang dalam lamunan
Tersentak aku hiba
Terkilan rasa dihati
Saat tersedar aku dilamun
Keindahan bisikan cinta
Adakah dosa bagiku Ya Allah?
Aku dibuai pesona wajahnya
Terdetik kesal saat khilaf
Membuka mata
Namun gelora jiwa ini terus membadai
Membawa helaian cinta
Yang aku sendiri tidak memahami kebenarannya.
Ya Allah
Andai cinta ini anugerahmu
Andai cinta ini bisikan darimu
Andai cinta ini milikku
Peliharalah hati ku dan hatinya
Agar cinta ini bersemi
Di atas landasan Perjuangan islam
Ya Allah
Aku redha mencinta
Dan dicintai
Jika ini ketentuan Ilahi
Akan ku simpan bisik hati ini
Sehingga harinya terpatri
Dua jiwa bersemi. ~_^
Perlu Arif Tabiat Lelaki
Qani'ah Syumaila membuka diarinya...
Ketika bergelar mahasiswa, saya menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua. Seronok mengisi masa dengan membaca. Buku Islam dan Cinta, karangan Abdullah Nasih Ulwan menemani petang saya pada hari itu.
Tiba-tiba, ada sebuah SMS masuk.
Saudari,
Awak kelihatan sangat solehah. Sudikah awak membimbing diri saya yang jahil ini. Saya mahu berubah. Saya ikhlas dahagakan petunjuk. Classmate.
"Membimbing atau mengajak bercinta?" hati saya mempersoal.
Jika ikhlas mencari petunjuk, dia sepatutnya berjumpa ustaz, bukan berjumpa saya. Berjumpa saya hanya menyebabkan ruang maksiat terbuka luas.
Sekalipun dia mengajak saya bernikah agar saya dapat mengubahnya, saya tidak boleh jahil tabiat lelaki. Lelaki lazimnya tidak suka sekiranya seorang isteri mengubah dirinya. Sekiranya peluang membuat perubahan itu ada tapi tidak boleh terlalu dipercaya. Peluangnya tipis sahaja.
Tatkala lelaki memegang darjat suami, keegoan mudah merasuk diri. Sukar mengikut kehendak orang lain apatah lagi kehendak isteri. Mengubah tabiat lelaki sangatlah payah. Apatah lagi, sekiranya cara hidupnya terbiasa dengan alpa dan dosa sejak muda.
Perlukah saya memperjudikan masa depan dengan menikahi lelaki yang tidak mampu membimbing diri sendiri? Adakah dia mempunyai modal untuk membimbing keluarganya nanti?
"Orang minta bimbingan saja. Kenapa fikir jauh sampai soal nikah?" syaitan mengejek saya.
"Jika aku berani memulakan, kena fikir kesudahan. Nikah dengan lelaki sebegini atau membiarkan anggota badan berzina. Baik abaikan sahaja." Saya patahkan hujah syaitan.
Seorang rakan menuju ke arah saya kemudian duduk di sebelah.
"Ramai kawan-kawan kita suka gandingkan nama awak dengan Presiden. Boleh saya tahu hal sebenarnya?" dia mengorek rahsia.
"Itu gosip sahaja. Kami tiada apa-apa," jawab saya.
Saya menyembunyikan rahsia bahawa memang benar Presiden pernah menghantar surat risikan kepada saya. Cuma, istikharah dan musyawarah saya dengan ibubapa belum mengatakan dialah orangnya. First thing first.
"Alhamdulillah. Saya sebenarnya sudah lama minat pada Presiden," dia meluahkan.
Saya tidak pelik mendengarnya. Wanita yang baik mudah tertarik kepada lelaki yang baik. Itu fitrah. Wanita yang jahat mudah tertarik kepada lelaki yang jahat. Begitulah sebaliknya. Saya tadahkan telinga mendengar bicara hatinya.
Katanya, yang ini lain. Rasa tertarik itu pada kesolehannya. Pada akhlaknya. Pada kesamaan visi dan misi dalam dakwah. Masing-masing tahu ada batasan. Dilemanya, hati mendesak untuk memberi perhatian. Hati mendesak untuk menunjukkan sikap memahami. Hati mendesak untuk saling berpesan-pesan atas kebenaran dan kesabaran.
"Awak ikut desakan hati?" saya bertanya.
"Saya meminta dia menjaga, memperhatikan atau menasihati saya agar istiqamah," katanya.
"Lalu, apa yang terjadi?"saya berkata.
Dia meluahkan lagi,
Setiap hari...
Kalau tidak bertemu, rasa ada suatu yang hilang. Perlu segera diintai-intaikan.
Ada kerisauan tentang dirinya. Ada keinginan kuat untuk tahu kondisinya.
Andai bertemu, berpandangan, atau SMS muncul pula rasa bersalah, gelisah, menyesal dan takut membuat Allah murka. Kenapa ya?
"Kerana hati awak masih hidup mengenal mana dosa dan mana pahala," jawab saya.
"Lepas saya mengungkap cinta kerana Allah, dia seakan menjauhkan diri. Salahkah saya?" dia bertanya.
"Tanyalah hati. Bimbang, ungkapan cinta Yang Esa tapi pengisian leka dari-Nya," jawab saya.
Saya berkongsi pendapat dengannya. Dalam hubungan yang tidak halal, cinta yang fitrah amatlah senang bertukar menjadi fitnah. Sukar mengenali mana cinta dan mana nafsu kerana topengnya handal, sukar dikenali. Orang yang biasa mendidik hati mampu mengenalinya.
Saya tidak mahu terlalu mudah mengungkap cinta. Siapa yang bakal menerima ungkapan cinta mestilah lelaki high class bukan lelaki sembarangan. Perlu ada matlamat. Perlu lihat kesudahan. Menghampiri syurga atau menghampiri neraka?
Saya berpesan supaya tidak perlu bertindak bodoh mengucapkan "Good bye" kepada dunia andai kehilangan cinta manusia. Patah tumbuh hilang berganti. Yang penting, Allah setia mencintai.
Selepas rakan saya itu beredar, saya jadi tertanya-tanya. Kenapa wanita kaya, cantik, bijak, menarik dan solehah sepertinya tidak mendapat tempat di hati Presiden? Kenapa Presiden lebih sanggup cuba mendapatkan saya? Saya cuma seorang gadis yang sangat sederhana.
Saya semakin arif tabiat lelaki. Secara semulajadinya, lelaki sukakan cabaran. Yang mudah menyerah diri, mudah pula disakiti. Yang sukar didapati, semakin bersungguh dia mencari. Maka, saya perlu terus menghunus duri. Agar cinta ini terpelihara untuk seorang suami yang diredhai Ilahi.
Saya mesti terus belajar tabiat lelaki. Bukan untuk menyaingi atau mengalahkan mereka. Saya cuma tidak mahu diperdaya. Saya melihat betapa ramai wanita telah dipermainkan. Mereka gagal mempertahankan diri. Mereka gagal keluar dari kebergantungan kepada permainan cinta sandiwara lelaki.
Saya tahu saya tidak mampu mengubah tabiat lelaki. Tapi saya mampu membantunya menjadi lelaki sejati. Bukan dengan cara melayan dan membimbingnya menjadi model lelaki idaman. Lelaki pasti mengambil kesempatan di atas sebuah kelembutan.
Caranya, saya mesti menghunus duri. Awas, jangan dekat! Jika mahu, dapatkan secara terhormat. Biar lelaki tahu, wanita itu untuk diselamat bukan diperalat untuk keseronokan sekejap.
Malah, setelah nanti saya telahpun bergelar isteri, saya tidak boleh berhenti untuk belajar tabiat lelaki. Lelaki suka berjanji dan cepat berubah hati. Saya melihat realiti masyarakat. Biar betapa baguspun seorang isteri melayani suaminya, masih ada lelaki yang gagal setia malah sesuka-hati memperdaya isterinya. Apatah lagi jika isterinya banyak kelemahan, ramai lelaki lebih suka menghukum daripada mendidik sehikmahnya.
Saya yakin, ada suatu rahsia yang menggerakkan tindakan lelaki. Saya mesti arif rahsia ini. What you see is what you get. Saya mesti bijak menyelaraskan 'sudut pandang' terhadap sesuatu isu sensitif yang melingkari alam rumah tangga sejak mula. Perlu juga ada jaminan undang-undang untuk mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan. Bukan kerana tidak percaya tapi kerana tabiat lelaki cepat berubah.
Jika Cinta, Apa Buktinya?
Ya, kita 'tahu' kita perlu mencintai Allah SWT. Tapi adakah kita 'faham' dan 'jelas' samada kita sudahpun mencintai Allah SWT ataupun belum? Apakah bukti kita mencintai Allah SWT? Mari ikuti 'checklist' berikut untuk mengenalpasti sejauh mana kita meletakkan Allah SWT menempati cinta paling utama di hati kita.
1. 1. Segera Menyahut Call Daripada-Nya.
"Allahu akbar! Allahu akbar!" Allah SWT memanggil. Tika itu kita sedang asyik menonton rancangan kegemaran. Apa selalunya reaksi kita pada panggilan-Nya?
"Di atas nama cinta pada yang selayaknya...kunafikan yang fana..." Melodi handphone pula berirama. Tika itu kita sedang sibuk studi sebab esok final exam. Kita tangguhkan atau kita segera mengangkatnya?
Bukti cinta, letakkanlah Kekasih Agung sebagai prioriti. Letakkan keinginan kita sama dengan keinginan Kekasih, tidak bertentangan. Jika Allah SWT ingin berjumpa, tunjukkanlah kita juga ingin berjumpa Allah SWT. Malah, apa yang kita inginkan pun ditanya kepada Allah, bukan berasal daripada diri kita sendiri.
Misalnya, keinginan memilih pakaian. Wajarkah orang yang cinta kepada Allah SWT berkata begini: "Aku tak nak pakai tudung ke, nak pakai jeans ke, tak pakai apa-apa ke, suka hati akulah." Sudahkah ditanya kepada Allah SWT, pakaian bagaimanakah yang Allah SWT suka? Jika Allah SWT diletakkan sebagai kekasih, tentulah kesukaan-Nya yang akan kita utamakan.
Orang yang egois, suka dirinya disanjung dan dipuja tapi tidak suka menyanjung dan memuja. Dia mahukan Allah SWT mengikuti keinginannya tetapi dia tak suka mengikuti keinginan Allah SWT, enggan melakukan apa yang Allah suruh. Benarkah kita cinta kepada Allah SWT tatkala kita memaksa Dia memakbulkan doa-doa kita sedangkan hidup seharian kita asyik bergelumang dosa tanpa taubat?
2. 2. Memberi Perhatian Kepada SMS dan Email Daripada Allah.
Kecintaan Rasulullah SAW dan para sahabat nampak jelas buktinya apabila mereka sangat cintakan al-Quran. Al-Quran itulah SMS dan Email daripada Allah SWT supaya kita perhatikan selalu.
Generasi awal membudayakan al-Quran dalam hidup seharian. Apabila saling bertemu, mereka suka minta dibacakan al-Quran untuknya.
Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Abbas membacakan al-Quran untuknya. Kata baginda, "Bacakan al-Quran kepadaku."
Ibnu Abbas lalu membaca sehingga ke surah An-Nisa': ayat 41. Rasulullah SAW minta dicukupkan kerana tidak tahan menanggung air mata sebak. (Rujuk HR BukhariMuslim).
Suatu malam, Rasulullah SAW melewati rumah Abu Musa al-Asya'ri yang sedang membaca al-Quran dalam solat malam, Rasulullah terus terpegun dan menangis. (HR BukhariMuslim).
Suatu saat Abu Musa al-Asya'ri datang kepada Umar. Umar berkata,"Ingatkan kami kepada Tuhan kami." Lalu al-Quran dibacakan. Umarpun menangis.
Jadi, jika benar kita cintakan Allah, cintailah juga kalam-Nya. Ajaklah kawan-kawan kita membudayakan al-Quran. Biar al-Quran menjadi perbualan harian dan mimpi malam kita. Jadikan kerinduan menatap al-Quran lebih mendalam daripada kerinduan menatap sms, email dan facebook.
3. 3. Memandang MMS-Nya Selalu.
Memandang MMS Allah? Aik, macam mana tu? Ya, kita tidak dapat memandang zat Allah yang Maha Tinggi di dunia. Namun, kita masih boleh memandang 'kebesaran-Nya'.
Allah SWT sudah hantar MMS pada kita. Lihatlah pesona alam yang menghijau, lihatlah gumpalan awan yang memukau, lihatlah gelora laut yang membiru dan lihatlah kehidupan yang penuh ranjau. Semuanya membentangkan sifat-sifat Allah SWT yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang.
Semakin direnung, semakin diri terasa kerdil. Tatkala diri terasa kerdil, akan timbul rasa pergantungan pada Yang Maha Besar. Tika rasa ingin memandang-Nya makin kerap menjengah hati, ia suatu bukti kita semakin cinta kepada Ilahi.
4. 4. Malu-malu Saat Dating dengan-Nya.
Anda pernah bertembung mata dengan seseorang yang dikagumi agama dan akhlaknya? Rasa malu tak? Biasanya, hanya terdaya memandang sepintas lalu sahaja.
Anda pernah dirisik atau bertunang? Bagaimana perasaan saat direnung bakal ibu mertua? Hmm, rasa ingin tunduk sampai mencium lantai, kan?
Bagaimana pula saat berhadapan dengan 'orang besar' atau Raja? Sanggupkah kita membiarkan mata melilau ke mana sahaja? Sudah tentu kita memfokuskan perhatian kepadanya dengan kepala yang sedikit menunduk. Betul tak?
Kenapa? Kerana dorongan rasa malu dan kerana kita meletakkan mulia pada kedudukan orang yang memandang kita itu. Allah SWT pernah memuji kesempurnaan adab kekasih-Nya, Muhammad SAW pada malam israk mi'raj. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Penglihatanya (Muhammad) tidak berpaling (fokus) dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya (tidak memandang dengan tajam)." (An-Najm: 17).
Bukankah saat solat itu adalah saat kita dating malah kadang kala itulah saat kita berkhalwat dengan Allah SWT? Jika benar kita cintakan Allah SWT, buktikan dengan menjaga adab memandang di dalam solat. Rasulullah SAW melarang kita solat sambil memandang ke atas. Berdiri di hadapan Allah SWT, kita mestilah berdiri tegap, menundukkan kepala dan memfokuskan pandangan ke tempat sujud.
Hakikatnya, Allah SWT bukan sahaja memandang kita di dalam solat, bahkan setiap saat. Sama-samalah kita menjaga rasa malu pada-Nya sebagai bukti kita cintakan Dia.
5. 5.Sentiasa rindu dan ingat pada -Nya.
Wujudkah cinta tanpa rindu? Jika benar kita mencintai Allah SWT sebagai cinta agung, Dialah yang sepatutnya paling kita rindui.
Bagaimana merindui suatu yang kita tidak tahu zat-Nya? Bersabar dan berharaplah saat-saat indah dapat menatap wajah-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Barangsiapa rindu dan berharap pertemuan dengan Allah,
maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang." (Al-Ankabut: 5).
Rindu pada Allah SWT terubat seketika apabila kita menghadiri majlis ilmu yang mentauhidkan Allah SWT. Rindu pada Allah SWT juga terbias pada rindukan al-Quran, rindukan tahajjud, rindukan orang-orang soleh dan rindukan kebenaran.
6. 6.Banyak Menyebut-nyebut Nama-Nya.
Apakah topik perbualan harian kita dengan kawan-kawan? Soal artis? Soal drama TV? Soal pelajaran? Soal si dia?
Kalau kita cintakan Allah SWT, apa kata, kita sama-sama jadikan Allah SWT sebagai perbualan harian. Ingin berbicara topik apa sahaja, pastikan Allah tidak lekang di bibir dan dikaitkan bersama. Mudah sahaja, contohnya:
"Alhamdulillah, Allah izin saya dapat juga A- dalam subjek ni."
"Dia sedang mengumpat saya! Tak mengapalah, Allah ada. Allah akan bela saya."
Selalunya, dalam kesusahan, atau tika ditimpa bahaya sahaja, orang mudah kembali ingat pada Allah SWT. Beruntunglah orang yang sering mengingati Allah SWT di saat senang, nescaya Allah SWT akan mengingatinya di saat susah.
Ingatan pada Allah SWT terzahir juga pada banyaknya zikir. Ada 4 tingkat zikir menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1) Tertinggi: Berzikir dengan lidah dan hati yang sama-sama merasai. Hati lebih-lebih lagi menikmati.
2) Berzikir dengan lidah dan hati tapi tidak merasai.
3) Berzikir dengan hati sahaja, sekadar ingat bukan merasai.
4) Berzikir dengan lidah sahaja, hatinya lalai.
Samada zikir kita di tingkat pertama atau keempat, Allah SWT tidak akan mempersiakan setiap zikir hamba-Nya ini melainkan diberikan pahala. Begitulah Allah SWT menghargai setiap rindu dan ingatan kita pada-Nya. Adakah kita juga menghargai Dia?
7. 7. Bersabar dengan Ujian Allah
Lumrah cinta akan ada ujian. Ujian itu bagi mengenalpasti setakat mana dalamnya cinta. Kadangkala kita melalui beratnya ujian, tidak tertanggung rasanya. Ketahuilah, seberat manapun ujian kita, kita tidak pernah diuji supaya menyembelih anak sendiri atau meninggalkan insan tercinta di padang sahara. Kita juga belum lagi diuji dengan lemparan batu, sanak-saudara memboikot dan membenci atau berperang menentang musuh.
Ujian-ujian yang besar ini menjadikan para Nabi istimewa di mata Ilahi. Jadi, kalau benar kita cinta pada-Nya, usah mengharapkan hidup tanpa ujian. Usah juga meminta-minta ujian yang lebih besar . Berdoalah agar diberi kekuatan menghadapi apa jua ujian dari-Nya. Dia lebih tahu ujian mana yang layak bagi kita. Apa yang perlu diingat, Allah SWT sengaja menguji kita untuk mengenal dan membuktikan siapa yang lebih mencintai Dia.
8. 8.Mencintai Segala Sesuatu yang Berkait dengan Allah.
Jika sudah terpikat, melihat atap kolej si diapun sudah mengubat. Apa-apa sahaja yang ada kaitan dengannya memberi rasa debaran di dada. Malah, perkara yang ada kaitan itupun terasa istimewa. Begitulah lumrah cinta.
Apakah pula bukti kita terpikat pada cinta Allah SWT? Sudah tentu apabila kita mencintai sesuatu yang ada kaitan dengan-Nya, itu bukti kita ingin lebih akrab dengan-Nya. Contohnya kerinduan muslim kepada Kaabah kerana Kaabah adalah baitullah (Rumah Allah). Maka, Kaabah juga dirasakan istimewa. Itu suatu bukti cinta.
Jika masih belum mampu meluah rindu di Kaabah, manfaatkan rumah-rumah Allah yang berhampiran kita. Jangan biarkan masjid dan surau sunyi tanpa kunjungan para pencinta. Buktikanlah cinta kita pada-Nya.
9. 9. Luapan Perasaan Luar Biasa Saat Berhubungan dengan Allah. (Khusyuk).
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Sungguh, orang-orang yang beriman ialah apabila disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, bila dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal."(Al-anfal:2).
Mendapat khusyuk amat sukar. Namun kita masih mampu berusaha mendapatkannya. Semoga amalan kita tika ini lebih baik daripada yang tadi. Sentiasa lakukan yang lebih baik untuk mencapai yang terbaik.
10. Cemburu
Cemburu dan cinta tidak dapat dipisahkan. Tanda cinta kepada Allah SWT, kita akan cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih kita hingga kekasih kita juga lebih cinta kepadanya. Ianya cemburu yang positif bukan cemburu yang dibiarkan bertukar menjadi fitnah.
Cemburulah kepada orang yang lebih berilmu, ulama', dan orang yang lebih banyak beramal. Bukan cemburu kosong tapi dalam rangka untuk mencontohi mereka. Dalam solat pula, cemburulah kepada orang yang solatnya lebih awal waktu, dapat berjemaah, dan solatnya lebih khusyuk kerana dia lebih mendapat perhatian Allah SWT ketika itu.
11. Berusaha keras meraih redha Allah.
Seterusnya, bukti kita mencintai Allah SWT ialah apabila kita sanggup melakukan apa sahaja demi menggapai redha Allah SWT. Ada 3 kondisi pencinta menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1)Berat hati untuk mencintai namun dia memaksakan diri.
2)Cinta makin menguat dan dia patuh.
3)Cinta menetap di hati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.
Cinta kita kepada Allah di tahap mana? Apapun tahapnya, mulai saat ini, buktikanlah kepada Allah SWT, kita sangat cinta pada-Nya. Jom!
Nota Lelaki Kepada Perempuan Comelnya.
Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani,
Malam ini, lelaki itu sunyi. Jalan bersendirian di atas lantai hitam. Atmosfera gelap menyelimuti cahaya. Yang tinggal hanya cahaya bintang dan bulan. Lebih tepat, angin turut bertiup enak, membelai rambut lelaki yang kusut masai .
Terbit rasa ingin tahu. Rindu kepada secebis dirinya. Secebis yang bisa memberikan lelaki itu sebuah perasaan bahagia yang bukan biasa. Rumit untuk diterangkan dan dihuraikan. Bahagia yang mampu menyempurnakan agama. Itu mungkin cukup penjelasannya .
Namun, lelaki itu tidak tahu, tidak tahu ke mana hilangnya cebisan itu. Mungkin lebih tepat , lelaki itu tidak tahu pun segala tentang cebisan itu melainkan tuhan yang maha mengetahui. Redha.
Lelaki itu berjalan perlahan, berteduh di bawah bumbung yang bercahaya. Meraba-raba pemandangannya, mencari cebisan yang entah bagaimana rupanya. Secebis yang bisa memberi perasaan bahagia yang menyempurnakan agama lelaki itu.
Lelaki itu mula memberi pandangan pertama .
Cebisan bertudung merah jambu. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.
Cebisan berambut perang kemerahan-merahan. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.
Cebisan berkaca mata comel. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.
Susur keluar diatur. Kembali ke atmosfera gelap. Buntu. Entah bagaimana rupa cebisan yang mampu memberi perasaan bahagia buat lelaki itu sepanjang hidupnya.
Cebisan yang boleh memberikan lelaki itu satu lagi perasaan yang ikhlas memberikan setia mengikat janji tuhan. Degupan jantung cebisan yang mampu memberi nyawa untuk senyum bersama lesung pipit sebelum dipanggil tuhan. Rindu lagi.
Lelaki itu mula melukis hikayat di hatinya. Berdakwatkan rindu dan berkanvaskan harapan. Baring di atas lantai hitam, mencuit bintang-bintang yang terapung menyebarkan cahaya kecilnya yang bisa memberi zikir kepada tuhan.
Perempuan bertudung putih membawa si bunga yang cantik berlatarkan anjung luar rumah. Wajahnya samar-samar. Memegang bunga putih sambil tunduk dibawah bintang-bintang yang bergemerlapan. Hikayat seorang perempuan yang berkisahkan rindu menanti cebisan juga yang mampu memberi perasaan bahagia yang bisa menyempurnakan agamanya.
Dakwat rindu masih basah lagi. Harapan masih luas lagi. Namun, perasaan bahagia itu tersangkut dek kerana cebisan itu kurang jelas wajahnya. Bersangka baik dengan tuhan. Pastinya, ini adalah salah satu seni kebaikan tuhan yang agung.
Tak perlukan si cantik rupawan, cukup sekadar memberi lelaki itu senyum berlesungkan pipit .
Tak perlukan si kaya raya, cukup sekadar bermewah dengan bersusah payah bersama lelaki itu .
Tak perlukan si cerdik pandai, cukup sekadar bergeliga merendahkan diri menghias kebaikan kepada lelaki itu .
' Aku rindu. Aku teringin memandang tepat ke mata mu tanpa ada lagi pandangan kedua. Ingin sekali aku menyentuh hati mu dengan kalimah-kalimah bahagiaku. Samar-samar wajahmu, akanku tajamkan penglihatan ku meneroka seluruh benua, agar wajahmu lebih jelas di potret hatiku. Biarkan aku mengembara mencari dirimu yang hilang. Pasti aku mahu kuatkan hatiku bagi membiarkan kau turut derita dengan rinduku. Yakin aku berikan hatiku untuk kau rangkul dengan hangat , setia menyambut tanganku berjalan ke taman syurga yang kekal abadi . '
Harapan seorang lelaki itu, sebaik sahaja hikayat itu dilukis, wajah cebisan itu semakin kurang samar-samarnya. Kuat keinginannya untuk lelaki itu berikan hati yang bisa mencipta bahagia yang dijanjikan tuhan. Semoga cebisan itu dibisik dengan perasaan yang bahagia ketika ini, entah tidak tahu benua mana arahnya. Tuhan sahaja lebih maha mengetahui .
oh tuhan , makbulkanlah doa hamba itu.
CINTA HIGH CLASS
Cinta high class bukan ekslusif milik sesiapa. Cinta high class berhak dimiliki oleh kita semua.
Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita mesti mencintai secara high class.
Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.
Err, apa itu cinta high class?
Cintamu mendaulatkan Allah nombor satu,Cintamu padaku kerana Allahmu yang satu,Cintamu bermujahadah menahan nafsu.
"Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)." (HR al-Tarmizi).
Saya terfikir, wanita dan lelaki saling tertarik. Itu biasa. Malah ketertarikan yang kuat ini turut dirasai oleh binatang jantan dan betina. Begitulah cara Allah menjamin berterusannya kehidupan di dunia.
Wanita dan lelaki saling jatuh cinta. Itu juga biasa. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah ini seperti merahibkan diri. Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah.
Wanita dan lelaki sanggup berkorban segala-galanya demi cinta. Itu luar biasa. Tapi boleh membawa binasa. Tanpa asas agama, maruah diri sanggup dikorbankan sekali. Islam menutup pintu-pintu yang membawa kekejian untuk melindungi lelaki dan wanita daripada punca-punca keghairahan dan pencetus fitnah.
Wanita dan lelaki bercinta selepas nikah, saling melengkapi agama pasangannya. Ini jauh luar biasa. Dan ini barulah high class. Jika belum menikah, cinta menjadi high class apabila teruna dan dara saling tinggi mujahadah. Bantu si dia memahami dengan mengurangkan perjumpaan dan komunikasi. Ianya atas dasar urusan dan keperluan sahaja dengan menjaga syarat dan batasan.
Jika di luar batas urusan, mintalah fatwa dari hati. Kebaikan itu apa yang tenang dalam hati. Dosa itu apa yang was-was dan syak dalam hati. Nikmatilah indahnya saat menahan, bila halal, penuh keterujaan.
Saya cuba memahami, mawar dan kumbang berbeza untuk saling melengkapi. Mereka saling jatuh cinta kerana perbezaan itu. Lelaki sukakan sifat kewanitaan seorang wanita. Wanita sukakan sifat kelelakian seorang lelaki.
Lelaki dan wanita bagaikan botol dan penutupnya. Bagaikan elektron dan proton. Bagaikan baju dan seluar. Bagaikan sepasang selipar. Saling memerlukan.
Bukti saling memerlukan ini akan menjadi luar biasa dan high class jika diluapkan kepada insan istimewa bernama suami atau isteri, bukan untuk teman wanita atau teman lelaki. Kenapa ianya high class?
Itu tanda patuhi Allah.Itu tanda jauhi fitnah.Itu tanda sebuah mujahadah.
'Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.' (Monolog Qani'ah Syumaila dalam novel Cinta High Class).
Bestfriend till Jannah
Tangan mencapai telefon bimbit di atas meja. Tangan dilarikan di skrin. Unlock.
1 new message.
Open. Mata dilarikan membaca isi kandungan pesanan tersebut. Nafas ditarik. Perlahan. Exit.
Air mata jatuh, setitis. Sepertinya hati juga sedang menangis.
Sahabatku, aku juga rindu kamu. Bahkan tersangat rindu. Andai sahaja kau tahu betapa aku rindu waktu kita dahulu. Andai sahaja kau tahu ada sahamnya kamu dalam setiap tadahan tanganku. Andai sahaja dapat aku memberitahumu.
Kau kata, kau malu. Malu dengan diriku waktu ini. Malu dengan penampilanku serupa ini. Malu dengan sifatku sekarang ini. Aku sudah berubah. Malah sudah jauh berubah. Sedangkan kau masih di tempat yang sama setelah sekian lama.
Sahabatku, aku pinta. Jangan malu denganku. Malulah kamu dengan Tuhanku. Kerana aku juga sepertimu. Seorang insan biasa, seorang hamba kepada Tuhannya. Aku ini tiada istimewanya. Aku hina. Banyak dosanya. Tidak terhitung jika mahu dikira setiap satunya.
Aku punya pilihan. Aku pilih jalan ini. Aku pasti. Tidak akan pernah berpatah kembali.
Tahu, kau juga punya pilihan. Pilihan untuk mengubah hidupmu. Kau juga boleh berubah. Seperti aku, seperti dia, seperti yang lainnya. Tiada apa yang mustahil. Cuma yang menentukan perubahan apa yang kau pilih. Jalan apa yang kau pilih untuk ikuti.
Kalau benar kau mahu berubah. Pasti akan ada pintu yang Tuhan buka untuk membantu. Pintu-pintu yang kau sendiri tidak sangka akan bertemu dari tempat yang tidak pernah kau tahu. Aku juga pasti, Tuhan akan menghantar orang-orang yang baik untuk bersamamu. Dalam apa jua keadaan, mereka tetap akan teguh bersamamu. Menghulurkan tangan membantu, mengangkat apabila tersungkur, menyedarkan dari kealpaan indah dunia itu. Mereka yang akan bersamamu. Bersusah payah mempimpinmu untuk berubah.
Sahabat, andai sahaja kau tahu indahnya hidup ketika diri sujud menghadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu indahnya perasaan ketika ditemani dengan redha dan syukurmu terhadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu keindahan sebenar dunia apabila sentiasa ditemani bayangan mati.
Aku pasti.
Bahawa kau tidak akan berlengah lagi. Kau tidak akan berkata sekejap lagi. Kau tidak akan tunggu tibanya nanti.
Aku pasti.
Kau akan bersujud tika ini. Kau akan memohon ampun saat ini. Kau akan redha atas ketentuan hidup yang diberi. Kau tidak akan pernah berniat untuk kembali kepada kehidupan indah lampau yang hanya berdasarkan duniawi.
Itu, aku pasti. Malah tersangat pasti.
Andai sahaja dapat aku terangkan perasaanku ketika ini. Andai sahaja dapat aku berkongsi sedikit rasa hati. Andai sahaja dapat aku beri rasa indah ini. Pasti sudah aku beri. Pasti sudah aku kongsi.
Aku mahu kau rasa perasaan itu. Perasaan indah mencintai Ilahi. Perasaan indah yang langsung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Perasaan yang langsung tiada tolok bandingnya.
Andai sahaja dapat aku kongsi.
Sahabat, aku mahu kau tahu. Kau sentiasa ada dalam doaku. Aku mahu kau tahu. Yang aku sentiasa mendoakanmu untuk menemukan jalan terindah dalam hidupmu. Aku mahu kau tahu, aku mahu jadi temanmu. Selamanya. Hingga ke syurga.
Kamu janji, tunggu aku ya?
GURINDAM SYAHWAT
Sekian lama cinta disekat
SMS dikirim menggantikan surat
Tibalah masa janji diikat
Terciptalah sejarah di satu tempat
Taman yang indah lagi memikat
Di balik rumpun yang sukar dilihat
Mata bertentang tangan pun berjabat
Dua hati memadu erat
Kasih disulam rindu dirawat
Cinta berganding degupan syahwat
Guruh berdentum hujan pun lebat
Nafas dan nafsu berperang hebat
Tidak tertanggung kasih melarat
Hendak dicanang cinta tersemat
Kini pangkuan semakin rapat
Agungnya cinta tidak bertempat
Tiada diingat Allah dan malaikat
Inikan pula pencegah maksiat
Hilang sudah agama dan adat
Kehendak diri mencalar syariat
Ayah dan bonda dilupa sesaat
Detik berlalu berganti saat
Tubuh yang ramping kini membulat
Tiada lagi t-shirt melekat
Baju yang seksi berganti pelekat
Uda jelita menanggung sarat
Teruna dihubungi tak pernah dapat
Janji dilafaz menjadi jerat
Resah bersulam akalpun tenat
Hilanglah pegangan menggoyahkan syariat
Lalu dibuang penyambung zuriat
Baru terfikir insaf dan taubat
Sayangnya kini sudah terlambat
Takdir tuhan telah tersurat
Saat bertemu di alam akhirat
Bertanyalah Allah soalan yang empat
Adakah hartamu membawa berkat?
Adakah ilmumu menuju manfaat?
Adakah amalmu menjadi rahmat?
Umur mudamu apa kau buat?
Basahkah lidah dengat syahadat
Tika berhimpun bertimbangkan ibadat
Adakah dipilih jalan selamat
Di taman syurga yang harum memikat
Atau neraka di lorong keramat
Berlimpah peluh dan jijik keringat
Wahai sayang sedarlah cepat
Sesungguhnya dunia terlalu singkat
Ayuhlah kita mencari rahmat
Janji Allah segera disemat
Agama tak menghalang cinta sejagat
Kerana itulah nikah disunat
Agar fitrah dibimbing bertempat
Mencari damai beroleh berkat
Diri sekadar memberi nasihat
Kelemahan diri bukanlah azimat
Seandainya terguris hati melarat
Sepuluh jari disusun rapat
Ukhwah terjalin disulam erat
Restu Ilahi sama disemat.
Subscribe to:
Posts (Atom)