Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Friday 17 February 2012

Titisan Tinta Seorang Mujahidah (Episod 2)

“Wah! Laila Laila!! Tengok baju ni. Cantik tak? Sesuai tak kalau aku pakai?” kata Nani bersungguh-sungguh sambil menayang-nayangkan baju blaus biru bercorak bunga itu ke badannya. Dalam hati, aku berbisik. Cantik.
“Eh, kau ni Nani. Tanya pulak. Kau pakai baju apa-apa pun cantik. Tengok lah pulak orangnya. Cantik. Jadi tak kisahlah pakai baju apa-apa pun, sure mata lelaki tak berkelip la.” Bersemangat Laila memberi sokongan. “Tapi kan Nani, aku rasa baju tu macam besar sikit la. Menggelebeh semacam je aku tengok. Apa kata kau ambik saiz S ni. Baru cun.”
Aku memerhatikan saja gelagat 2 orang rakanku itu. Mereka berdua tu memang kaki shopping. Sekarang 2007 sudah hampir melabuhkan tirai. Grand sale dah bermula. Ditambah pula dengan sambutan Merry Christmas bulan depan. Seperti biasa, setiap hujung tahun memang penuhlah Sogo ini dengan manusia. Bagai semut-semut kecil mengerumuni seketul gula. Semua dengan tujuan yang satu. Menghabiskan duit gaji untuk kepuasan duniawi. Bukan setakat RM20, RM30. Sehari sahaja boleh dihabiskan hampir-hampir RM 200! Bagi orang-orang yang sudah berkerja, mungkin jumlah itu dianggap kecil. Tapi bagi kami yang bergantung kepada duit biasiswa, jumlah itu agak banyak. Aku saja sudah menghabiskan RM 150. Membeli baju-baju dan kasut. Aku memang lemah kalau bab-bab kasut ni. Kalau baju, tak adalah aku goyah sangat. Tak apalah, bukan selalu pun kan, aku berkata sendiri untuk menyedapkan hati.
Disebabkan sudah berdiri hampir 2 jam dalam kesesakan lautan manusia, aku mula terasa penat. Seakan-akan kaki semakin berat untuk melangkah. Dikerling jam di tanganku. 3.30 petang. “Eh korang. Dah pukul 3.30 petang ni. Kita tak solat Zohor lagi ni.”
“Asar masuk pukul berapa?” tanya Laila. “Em… kalau tak salah pukul 4.20 kot.” Aku sekadar mengagak. “Oh, kalau macam tu pukul 4 la baru kita gerak. Alang-alang tu boleh solat Asar terus. Tak adalah kena banyak kali turun kan. Lagipun, surau kat Sogo ni sempitlah. Sesak nafas aku. Amacam? Aku nak tengok Jeans Levis ni. Sale 80% kot. Bukan senang nak dapat.” Laila berkata sambil tangannya ligat membelek-belek longgokan jeans yang bertimbun-timbun di depannya.
“Hmm. Betul jugakkan. Aku pun tak suka sangat berhimpit lama-lama dalam surau tu. Rimas.” Aku segera mengiakan sambil tanganku sudah mula sama-sama mengikut mereka berdua mencari-cari jeans yang berkenan di hati. Alih-alih, sehelai lagi jeans aku beli. RM 40. Duit. Duit. Melayang bagai daun kering yang gugur di musim luruh.
Petang itu, kami tiba di rumah sewa pada pukul 8.10 malam. Lagi sepuluh minit azan Isya’ akan berkumandang. Mulalah semua berebut bilik air. Ingin menunaikan solat Maghrib. Kalau Subuh, kita panggil solat gajah jika solat di akhir waktu. Kalau Maghrib ni, aku pun tak tahulah nak panggil apa. Solat ikan paus pun macam layan jugak. Ikan paus kan lagi besar dari gajah.
Malam itu setelah selesai makan malam, seperti biasa semua akan mula membuka beg-beg yang berisi barangan yang dibeli untuk ditunjukkan pada housemates yang lain. “Nani, cantik lah baju yang kau beli ni. Tapi, bukan ke kau dah beli baju baru minggu lepas?” Yati berseloroh sambil cuba untuk memakai baju tersebut. “Eh, kau tak payah la sibuk-sibuk nak cuba. Kau tu berisi kot. Tak muatnya baju ni dengan kau. Ni saiz S la.” Marah Nani. Cepat-cepat diambilnya baju tersebut daripada Yati. “Aku saja beli baju ni. Esok aku nak pergi dating dengan Khairul. Kenalah pakai cantik-cantik. Dah sebulan tak jumpa kot. Rindu.” Ujar Nani sambil tergelak. Rakan-rakan yang lain apalagi. Terus diusiknya Nani.
“Korang. Tengoklah aku beli apa ni. Sandal Vincci.” Aku pula terasa tidak sabar ingin menunjukkan wedges tersebut kepada Yati, Rina dan Ummi yang hanya duduk di rumah sepanjang hari. “Oh. Vincci lagi? Adasale ke?” tanya Rina. “A’ah. 50% less.” Aku tersenyum. “Oh, cantik je. Eh, Nani. Kau dating pukul berapa esok? Kita naik komuter sama-sama la. Aku pun nak turun KL. Jumpa kawan.” Rina terus kembali mengalih perhatian kepada Nani. Aku tersentak. Selalu macam ni. Tidak pernah ada pun yang ingin memberi perhatian kepadaku. Kalau ada apa-apa yang melibatkan hal rumah, aku pasti orang terakhir yang mendapat tahu. Itupun jika aku bertanya. Kadang-kadang aku pun tak pasti sama ada kehadiran aku ini disedari oleh mereka atau tidak. Aku bertanya pada diri aku sendiri, pentingkah aku dalam hidup mereka. Kalau aku tiada di sisi mereka, adakah mereka akan mengambil kisah? Aku terasa bagai tersisih. Aku sedar aku siapa. Tiada apa yang menarik dalam hidupku untuk mereka disekeliling memberi perhatian. Sebak di hati. “Kau ok ke? Semacam je ni.” Bahuku disentuh Yati. “Ok je.” Aku senyum dalam paksa.
Malam itu sebelum tidur, seperti biasa aku membuka diariku. Ingin mencatat kisah hari ini.
10 November 2007, di bilik.
Kepada Cik Diari,
Hmm… Perasaan itu datang lagi. Perasaan disisihkan. Perasaan ditinggalkan. Perasaan tak dihiraukan. Susahnya hendak mencari kawan yang sejati kan. Kawan yang benar-benar memahami aku, kawan yang benar-benar menghargai aku, kawan yang benar-benar menyayangi aku, kawan yang benar-benar menerima aku seadanya.
Cik Diari,
Aku benar-benar berharap satu hari nanti aku akan menemui “kawan” itu. Aku benar-benar rindu untuk menemui “kawan” itu. Seorang “kawan” yang masih belum aku temui. Tapi hati aku benar-benar sudah menyayangi “kawan” itu. “Kawan” yang kini belum aku temui. Tapi terasa bagaikan sudah di sisi.
Aku menutup diari. Titisan jernih itu mengalir kembali. Ya Allah, temukan daku dengan “kawan” itu.
“Kawan” yang belum pernah bersua muka
Adelaide, November 2010
“Oh Mak!” Terkejut aku di saat terasa sesuatu di bahuku. “Yan! Kot ye pun bagi la salam dulu. Terkejut tau. Rasa macam nak terkeluar jantung.” Azyan hanya tersengih-sengih di sebelahku sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. “ Cik adik, saya dah penat ketuk pintu bilik ni. Tak terjawab. Dah panggil nama banyak kali. Tak dijawab jugak. Nak kata tengah study, mata mengadap laptop. Tapi dari tadi pandangdesktop laptop tu je. Kalau laptop tu boleh dimakan, entah-entah dah tinggal separuh dah ditelan. Apa yang ditenung entah kat situ. Bukan sekejap. 10 minit dah kot saya berdiri tengok awak.”
Aku pula yang terasa malu. “Oh yeke. Minta maaf la. Tengah terfikirkan sesuatu.” aku berkata sambil tersenyum kambing. Cover line la konon. “Em. Terfikirkan sesuatu ke atau teringatkan seseorang. Jaga-jaga hati tu Najla. Minta jauh daripada bisikan syaitan. Kita yang berada dijalan ni memang sentiasa ditariknya. Di panjangkan angan-angan.” Kata Azyan sambil tersenyum. Satu gurauan, tapi penuh dengan makna yang mendalam.
“InsyaAllah bukan tu yang saya fikirkan. Minta dijauhkan.” Ujar aku kembali membalas senyumannya.
“Dah pukul 1 ni. Jom solat Zohor. Lepas ni boleh sambung study balik. Tinggal seminggu je lagi exam. Makin dekat kita dengan exam, patutnya makin kuat mujahadah kita. Dan patutnya makin dekat kita dengan Allah kerana pergantungan kita hanya pada Dia semata-mata. Bukannya makin liat kita nak bangun tahajjud. Bukannya makin bertangguh-tangguh kita untuk beribadah padaNya. Betul tak?”
Begitulah Azyan. Salah seorang sahabat kurniaan Illahi padaku. Seorang sahabat yang tidak lekang bibirnya daripada peringatan. Seorang sahabat yang tidak lekang bibirnya daripada teguran. Seorang sahabat yang tidak lekang bibirnya daripada mengajak kepada kebaikan. Seorang sahabat yang berani menyatakan kebenaran. Demi sebuah agama yang diperjuangkan. Demi membetulkan aku jika ada kesilapan. Demi menjadikan aku lebih baik dari semalam.
Azyan, perhiasan maksud namanya. Moga menjadi seindah perhiasan dunia. Dan menjadi bidadari di syurga.
Malam itu, terasa ingin membuka kembali diari yang sudah setahun dibiarkan sepi. Tanganku membuka catatan itu. Catatan 3 tahun yang lalu. Catatan yang tiba-tiba datang menyapa ingatanku petang tadi.
Terasa ingin menulis kembali. Aku capai pen di atas mejaku.
10 November 2010, di meja study.
Kepada Cik Diari,
Tepat 3 tahun yang lalu aku pernah menceritakan kerinduan aku pada “kawan” yang belum pernah aku temui. “Kawan” yang aku cari selama ini.
Cik Diari,
Setelah lama menanti, akhirnya aku dihadiahkan “kawan” itu. Bukan aku yang mencarinya. Tapi dia yang menemuiku. Dia yang mencari aku.
Cik Diari,
Dulu aku mendambakan seorang “kawan”. Akhirnya aku dipertemukan dengannya. Tapi bukan hanya “dia”. Bahkan “mereka”. Dan ikatan yang terjalin antara aku dan “mereka” jauh lebih bernilai daripada nilaian wang, nilaian perhatian, nilaian pujian, nilaian kebendaan, nilaian kecantikkan. Dan ikatan antara aku dan “mereka” bukan sekadar atas ikatan persahabatan.Aku diikat dengan “mereka” atas nilaian aqidah. Ikatan atas nilaian ukhuwwah fillah.
Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih atas pemberianMu yang tak ternilai ini. Aku tak pasti kenapa aku yang terpilih untuk mendapat kebahagian ini. Untuk mendapat sahabat-sahabat seperjuangan ini. Tapi yang pasti, aku bertemu dengan “mereka” adalah keranaMu. Dan aku tahu, pasti suatu hari nanti aku bakal dipisahkan dengan “mereka”. Juga keranaMu. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih.
Cik Diari,
Aku ingin mencari sahabat seperti yang dicari Imam Shafie…
“Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.  Sahabat yang baik adalah yang seiring sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.
Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka.  Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.
Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang.  Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri.”
‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’
Diari itu aku tutup. Tersimpan kemas di dalam laci. Terpandang lecture notes di atas mejaku. Belajar tentang “Addiction”. Aku tersenyum sendiri. Benar, aku sekarang rasa addictedAddicted untuk mencari “kawan” itu lagi. Addicted untuk menemui “kawan” itu lagi. Addicted untuk menambah “kawan” itu lagi. “Kawan” yang belum pernah bersua muka. Namun aku yakin, tautan hati aku dan “dia” pasti tetap utuh. Walaupun tiada sebab untuk aku berkawan dengan”nya”. Tanpa “dia”, aku tetap mampu menjalani hidup seperti biasa. Tapi aku rindu untuk menemui”nya”, semata-mata kerana Sang Pencipta.
Daripada Abu Hurairah r.a. yang maksudnya, bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan. Lalu malaikat itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?” Lelaki tersebut menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”. Malaikat bertanya lagi, “Adakah bagimu bumi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?” Tidak, aku mencintainya kerana Allah SWT. Maka berkatalah malaikat itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau. Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia kerana Allah”. (Hadith riwayat Muslim).

TITISAN TINTA SEORANG MUJAHIDAH.

Seindah hiasan adalah wanita solehah...
Adelaide, Febuari 2009
Tepat 7.30 pagi aku tiba di Adelaide Airport. Negara kangaroo dan koala. Pertama kali menjejakkan kaki ke tempat yang aku rasakan begitu asing buat diriku. Namun, aku beruntung kerana aku bukanlah keseorangan di sini.  Aku berjaya menyambung pelajaran di sini bersama kawan-kawanku yang lain. Teringat perbualan kami beberapa hari lepas.
"Eh, nanti masa cuti winter, kita pergi jalan-jalan nak tak? Sydney ke, Melbourne ke. Gold Coast pun seronok jugak." Kata Nani sambil mulutnya sibuk mengunyah burger. Ketika itu, kami berhenti rehat seketika di Kfc Mid Valley setelah membeli beberapa barang keperluan untuk dibawa ke Australia. Sekadar persiapan terakhir. Ajakan Nani disambut riang kawan-kawanku yang lain. Aku seperti biasa, turut serta mengangguk tanda setuju. Tidak sabar untuk menunggu saat itu tiba.
Setelah mengambil baggage, aku menolak troli beg-beg ku keluar. Ada beberapa kawanku yang sudah mendahului ku berada di satu kawasan. Aku segera menuju ke situ. Mataku terpandang kelibat dua orang yang asing bertudung litup di tengah-tengah kawan-kawanku. Bila aku sampai di situ, salah seorang daripada mereka berdua menghulurkan tangan.
"Assalamualaikum. Panggil akak, Kak Ida. Yang ni Kak Ija. Siapa nama adik?" Huluran tangannya ku sambut. Tergamam sebentar apabila salaman bukan hanya sekadar salaman. Tapi disertai dengan pelukan mesra. Terkejut, namun aku terasa ada suatu ketenangan bersama mereka berdua.
Adelaide, Julai 2009
Sudah hampir 5 bulan aku di sini. Sekarang musim dingin sudah tiba. Kesejukkannya bagai menggigit tulang-belulangku. Ketika itu aku baru saja selesai solat subuh. Keseorangan di ruang solat di rumahku. Aku melihat ke luar jendela. Langit yang mula kekuningan. Terdengar kicauan burung sayup-sayup diluar.
"Mungkin ibu burung dah mula mencari rezeki buat anak-anaknya." Bisik hati kecilku.

Tiba-tiba terasa hangat pipiku. Air jernih itu mulai turun lagi. Saat itu, segala kenangan sepanjang berada di Adelaide bagai berputar-putar di mindaku. Ada sesuatu yang bagai mengetuk-ngetuk jiwa ini. Ketukan yang bertalu-talu namun ia memberi ketenangan.
Aku sedar. Aku sentiasa lain daripada kawan-kawanku. Topik yang selalu menjadi perbualan kami sentiasa berkisar kepada keindahan dunia. Aku sedar akan kekurangan diri. Mungkin itu yang menjadi titik tolak kepadaku untuk mencari. Mencari sesuatu yang mampu merawat kepedihan hati. Aku tak menyalahkan kawan-kawanku. Mungkin kerana perasaan rendah diri yang terlalu kuat yang membuatkan aku sentiasa rasa kekurangan. Tapi, pengakhirannya menjejaskan diri aku sendiri. Jiwa memberontak. Walaupun aku berteman, namun aku sentiasa rasa keseorangan. Aku selalu bertanya, "Ya Allah, kenapa kau berikan kekurangan ini padaku. Sedangkan mereka yang lain Kau kurniakan kelebihan. Yang selamanya takkan sesekali aku miliki." Rintihan yang seringkali aku tanyakan di atas sehelai sejadah yang menjadi saksi kepada segalanya.
Persoalan itu sentiasa menjadi sebab kenapa air jernih ini sentiasa mengalir. Tapi, itu dulu. Pagi ini, titisan yang sama mengalir tapi bukan atas sebab yang sama. Kali ini, ia mengalir atas doaku yang berlainan dengan keinginanku dahulu.
"Ya Allah. Aku mahu menjadi seorang wanita yang solehah." Air jernih itu terus-terusan mengalir. Di atas sejadah yang sama, namun kali ini dengan lafaz yang berbeza. Aku yang sekarang dan aku yang dulu. Aku tahu aku mencari sesuatu. Walaupun aku pun tak pasti apa yang aku cari. Namun, aku sentiasa mencari sesuatu yang mampu memberi ketenangan kepada jiwa. Dahulu, dalam setiap sujud solatku, dalam setiap bacaan Al-Quran, aku sentiasa cuba mencari ketenangan itu. Namun, tak pernah sedikitpun damainya ku temui.
Dan sekarang, di bumi yang jauh dari tanah air, aku rasakan bahawa sesuatu yang aku cari selama ini bagaikan semakin mendekati. Sesuatu yang mampu memberi ketenangan kepada hati. Sesuatu yang akan menghilangkan perasaan kekurangan yang aku rasa selama ini.
Kenapa ketenangan ini tak ku temui dahulu? Aku cuba menilai kembali diriku sendiri. Apa matlamat hidup aku selama ini? Adakah semata-mata untuk mengejar kecantikkan duniawi? Setiap malam sebelum tidurku, bibir ini sentiasa mengucapkan kalimah syahadah. Namun, sehampir mana hubungan yang aku bina dengan Allah? Sebanyak mana pernah hati ini rindu pada kekasih Allah? Aku tunaikan kewajipan solat. Namun, sekhusyuk mana aku dalam setiap bacaan, setiap rukuk, setiap sujud ku? Seusai solat maghrib,aku membaca Al-Quran hampir setiap malam. Namun, pernahkah aku cuba fahami setiap butir isi kandungannya?
Aku bagaikan baru dibangkitkan dari lena yang panjang. Terasa baru menemui jawapan kepada setiap persoalan. Terlalu banyak episode-episod yang berlaku di sini yang memberi pentarbiyyahan kepada diri. Aku seorang pemerhati. Dan ketukan yang aku dapat adalah kerana aku memerhati dan mencari. Qudwah hasanah mereka yang mengetuk hati.
Aku mahu menjadi seperti mereka. Walaupun aku tahu aku tak layak. Siapalah aku untuk menjadi seorang wanita solehah. Aku dipenuhi dosa. Kisah hidup aku dipenuhi noda.
Aku teringat lewat di suatu petang, ketika berada di dalam bas dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis tutorial di universiti. Hati terasa ingin membuka tafsir yang berada di dalam beg sandangku. Pada helaian itu, pandanganku bagai terpaku pada satu ayat yang cukup menggetarkan jiwa.
Katakanlah, "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Az-Zumar: 53)
Terasa sebak di hati. Ya Allah, aku mahu berubah. Aku tak perlukan lagi kecantikkan dunia. Aku tak perlukan lagi keindahan dunia. Aku tak perlukan lagi kemewahan dunia. Aku tak perlukan lagi kesenangan dunia. Kerana aku tahu aku tak akan pernah berasa puas jika aku memilikinya.
Adelaide 2010
"Akak, saya nak pakai tudung, boleh tak?" Tersenyum naqibah ku mendengarkan pertanyaanku."Yang bertutup itu jauh lebih dicintai Allah." Pendek jawapannya, namun sudah cukup untuk memberi kekuatan kepada diri.
Aku sedar aku sudah mula berubah. Sedikit demi sedikit. Walaupun jauh lagi matlamat yang aku inginkan. Tapi aku kumpulkan kekuatan satu demi satu. Kerana aku yakin suatu hari nanti aku pasti akan berjaya sampai ke matlamatku. Menjadi wanita solehah. Dengan izinNya.
Adelaide, Oktober 2010
Setahun yang lalu, aku mahu berubah. Dan aku dihulurkan pertolongan untuk berubah. Namun sebenarnya kekuatan untuk berubah itu sentiasa berada dalam diri setiap insan. Cuma kita yang tiada keberanian untuk memulakan. Sekarang, tanggungjawab aku semakin bertambah. Tiba masa untuk aku pula merubah. Kerana aku yakin di luar sana pasti ada jiwa-jiwa yang turut sama mencari. Pencarian kepada satu jawapan yang selama ini sentiasa berada di sisi. Pencarian kepada pergantungan Ilahi. Moga pengakhirannya adalah penemuan hakikat kemanisan iman dan islam yang sebenar. Itulah kemenangan abadi.
Malaysia, 26 November 2011
Tenang wajahnya saat melafazkan akad. Seorang akhi yang tidak begitu aku kenali. Cuma sekali-sekala bertemu atas urusan tarbiyyah. Saat cincin disarungkan, aku menangis lagi.
Kali ini tangisan ini adalah tangisan kesyukuran. Atas kurniaan Tuhan.

Tarikh 26 November dipilih atas permintaanku. Kerana tarikh ini bersamaan 1 Muharram 1433 Hijrah. Tarikh yang merupakan titik tolak penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w. Tarikh yang aku ingin abadikan sepanjang hidupku. Tanda penghijrahan. Peringatan buat diriku. Bahawa aku pernah berhijrah. Penghijrahan yang bermula atas sebab cintakan keindahan yang membawa aku kepada keindahan cinta hakiki. Cinta Ilahi.
Sekarang, di atas sejadah yang tetap sama, matlamat aku makin bertambah.
Mahu menjadi seorang isteri solehah.
Mahu menjadi qudwah hasanah.
Mahu menjadi daie yang merubah.
Mahu menjadi bidadari syurga firdaus.
Amin Ya Rabb.

VESPA KENANGAN

"Ibu, Amin dah beli tepung dan gula yang ibu suruh Amin beli balik dari sekolah tadi. Ada Amin letakkan di dapur." Lembut Amin menuturkan bicara kepada Ibunya tersayang. Lalu seperti biasa dia melangkah menuju ke pinggir tangga, duduk di situ memikirkan..
"Ya nak... Terima kasih. Biarkanlah dulu. Ibu tengah siapkan jahitan yang Cik Kiah kirim ni." Sambil tangan dan kakinya sibuk bekerja di mesin jahit singer itu, Mak Jah menjawab.
Amin. Seorang anak yang taat. Kasihnya kepada ibu tidak pernah kurang walau senipis helaian rambut. Selepas pemergian ayahnya dua tahun lalu, Pak Latiff, ibunya sahajalah tempat Amin bergantung, tempat Amin bermanja, tempat Amin bergurau senda. Tiada kawan dan adik beradik lain seperti orang lain yang boleh Amin ajak main bilamana petang-petang di kawasan rumah kampung dekat dengan bendang itu. Kalau dulu, waktu arwah ayahnya masih ada, Amin sangat rapat dengannya. Bersiar-siar keliling kampung dengan dibonceng Pak Latiff, motor Vespa hijau tinggalan atuk itu sungguh comel sekali masa itu. Sekarang sudah usang jadinya, tak ada siapa yang nak jaga. Ramai juga orang kampung yang lalu lalang bertanya mengenai Vespa itu. Ada yang sanggup beli sampai harga beribu ringgit. Yalah, semua tahu enjin motor itu kuat dan tahan lama, boleh dijadikan enjin pada gerabak angkut sawit, tanah, pendek kata memang bagus. Ada juga yang mahu menjadikan koleksi barang antik, dan ada yang saja-saja ingin masuk kelab Vespa di pekan sana. Tapi, setiap kali ada orang yang datang melamar Vespa itu, Aminlah yang menjadi penentang nombor satu. Macam-macam alasan dan hujah diberi Amin kepada ibunya supaya tidak menjual motor itu. Akhirnya, sampai sekarang duduk saja Vespa itu di tempatnya, tempat kali terakhir ia diletakkan oleh orang kampung selepas dihantar pulang. Amin rasakan kenangannya pada Vespa itu sangat bernilai, walaupun sudah nampak agak usang kini, Amin tetap sayang, Amin bersihkan badannya tiap-tiap petang selepas pulang dari sekolah. Diusapnya badan Vespa itu dengan penuh rasa kasih. Cuma dia tak tahu membawanya saja.
"Amin teringin nak bawa motor tu la bu, boleh tak?" Rengek Amin kepada ibunya sambil merenung ke arah Vespa yang tersadai di bawah rumah, tepi tangga rumah kampung itu.
"Amin pandai ke nak bawa? Motor tu kan berat. Badan Amin tu kan kecik je. Silap-silap motor tu ke parit, Amin ke hospital. Amin tak sayang ibu lagi ke. Nak tengok ibu duduk kat hospital tu siang malam jaga Amin? Nak bayar duit biaya hospital tu pun ibu tak mampu." Sudah acap kali Amin suarakan hasrat ini kepada Mak Jah, namun jawapan ini jugalah yang Amin dapat.
Sengaja Mak Jah jawab begitu sebab dia amat sayang akan Amin, satu-satunya anak yang dia rasakan sangat baik untuknya. Syukur. Dia rasakan amat beruntung ada anak seperti Amin, tak macam anak remaja orang lain yang degil, liar, saban hari buat onar dan memeningkan kepala. Amin lain. Memang berbeza dengan remaja seusianya, walaupun baru tingkatan tiga, tingkahnya matang dan tak pernah buat hati kecil Mak Jah terluka. Dia juga tak mahu kerana Vespa itu Amin menjadi seperti ayahnya.

Kenangan lalu peristiwa yang meragut nyawa Pak Latiff tidak pernah kering dari memori Mak Jah, apatah lagi untuk terus diluputkan begitu sahaja memori itu. Kerna Vespa itulah Pak Latiff terbaring tak bernyawa, bukan kerana kemalangan atau terjatuh dari motor, tetapi kerana orang yang iri hati terhadap Pak Latiff. Pak Latiff masa itu bergelar jaguh Vespa Pekan Kampung Seri Menanti. Siapa yang tak kenal dengan Pak Latiff, sudah bertahun memegang gelaran juara pertandingan Vespa Klasik Nusantara yang menjadi gilaan pemuja-pemuja motosikal klasik itu seluruh Malaysia. Sehinggakan ada manusia yang gelap hatinya, dengki sanggup membunuh Pak Latiff di suatu malam tika Pak Latiff pulang dari surau seusai mengerjakan solat terawikh berjemaah. Pak Latiff ditemui mati tertikam dek buluh runcing, malah Vespanya juga turut menjadi mangsa dicampakkan ke hujung tebing parit. Dan keesokan harinya, barulah ada orang kampung menemui mayat Pak Latiff, sungguh ngilu, pilu, dan sedih bila terkenang arwah yang pergi dalam keadaan yang sebegitu, terbiar semalaman di tepi jalan yang sejuk gelap gelita. Mak Jah tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya kerana faham Pak Latiff akan selalu berada di surau itu untuk berqiamullail, lebih-lebih lagi waktu itu sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Sampai sekarang tiada siapa tahu dalang di sebalik peristiwa itu dan akhirnya kes sudahpun ditutup oleh pihak berkuasa. Ada juga mulut gatal orang kampung yang mengatakan, Pak Latiff sudah tidak waras menikam dirinya sendiri, tak kurang juga yang berkata Pak Latiff terkena buatan orang melalui ilmu hitam, dan macam-macam lagi. Namun Mak Jah dan Amin percaya bahawa itu sudah ketentuan yang Maha Esa. Sudah tiba masa Pak Latiff pergi dan jika itu cara dia diambil oleh Tuhan, Mak Jah redha. Tidak putus doa Mak Jah dan Amin untuk arwah, disamping berdoa agar orang yang berbuat jahat terhadap arwah diberi hidayah dan mendapat balasan yang setimpalnya, bukan di dunia, di akhirat sana pasti tidak terlepas.
Kini, Mak Jah dapat merasakan yang Amin mahu mengikut jejak ayahnya menjadi juara dan dengan niat ingin menuntut bela kematian ayahnya itu. Namun, naluri keibuannya cepat-cepat menangkap hasrat Amin itu dan cuba seboleh mungkin untuk mengekang.

AYAH
WALAU KAU PERGI TERLEBIH DULU
KETAHUILAH
KASIH ANAKMU TAK PERNAH PUTUS KUNJUNG
DALAM DOA KU UKIR RASA RINDU
DALAM MIMPI KITA BERTEMU
KAULAH WIRA, KAULAH INSPIRASI...
BONDA
DI TELAPAK KAKI MU SYURGA MEMBENTANG
DALAM DOAMU TERKABULLAH KASIH SAYANG
DALAM KATAMU ADA HIKMAH
DAN SENYUM MU TIDAK MENGENAL SENJA
ENGKAULAH PELITA DIKALA JIWA GELAP GELITA...
JANJI ANAKMU
TAKKAN MELUPAKAN
WALAU HINGGA AKHIR NANTI.
"Kenapa orang tu sanggup bunuh ayah Amin ya bu? Ayah Amin tu baik, solat tak tinggal, dan kalau dia jadi juara sekalipun, apa salahnya kan, ayah memang berhak dapat gelaran tu, vespa ayah Amin tu istimewa, tak macam orang lain punya." Luahan Amin kepada ibunya yang sedang tekun menyiapkan tempahan jahitannya itu, seolah-olah berkata sendiri namun sengaja dikuatkan suara.
Dari tadi dia hanya duduk saja ditangga dengan baju sekolahnya tidak lagi berbuka. Itu sudah menjadi rutin harian Amin selepas pulang dari sekolah, paling kurang sepuluh ke tiga puluh minit pasti Amin duduk di situ memikirkan dan mengenangkan akan peristiwa yang menimpa ayahnya dua tahun lalu.
"Amin... ALLAH itu Maha Mengetahui dan Penyayang. Tidak DIA merancang dan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa ada sebab dan manfaatnya. Kita sebagai hambanya perlu terima segala takdir yang telah tersurat. Redha dan berdoa agar ayah Amin selamat di sana. Ingat pesan ibu, doa anak yang soleh itulah yang menjadi cahaya penerang untuk ayah Amin di alam sana, dan moga dia ditempatkan dalam golongan yang mendapat syurga Allah." Nasihat Mak Jah kepada anak kesayangannya itu. Dia jikalau boleh tidak mahu Amin terus berfikir yang bukan-bukan, apatah lagi jika ada niat di hati anaknya itu untuk membalas dendam.
Senyap.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua (ibu bapa) dengan penuh kesayangan serta ucapkanlah, "Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil."
[Surah Al-Israa': Ayat 24]
Mak Jah ingin menyambung kata-katanya tapi bila terlihat Amin yang hanya tunduk duduk terdiam, dia mematikan suis mesin jahit itu dan bingkas bangun menuju ke arah Amin. Menangiskah dia? Bisik hati kecil Mak Jah. Tak pernah Amin macam ni. Selalu dia tidak bertanya banyak, hanya kadang-kadang seperti bercakap sendiri dan tersenyum, mungkin mengenangkan peristiwa indah-indah bila dia dengan ayahnya. Pak Latiff pun memang manja dengan Amin sejak Amin lahir sehinggakan kadang-kadang Mak Jah merasakan yang suaminya itu lebih memahami Amin. Tapi itu dulu.
"Amin nak jadi anak yang soleh tak? Amin nak jumpa dengan ayah Amin lagi ye? InsyaAllah kalau Amin jadi anak dan insan yang soleh, Amin masih boleh jumpa dengan ayah, di syurga... Amin sedih. Nak menangis? Sini peluk ibu. Menangislah kuat-kuat tak apa. Tak ada orang tahu, inikan ibu Amin."  Seperti memahami hati anaknya, si ibu membisikkan. Luhur dari dalam hati seorang ibu yang amat faham tentang anak bujangnya itu. Ya. Amin sudah besar, dan sudah lama Amin tak menangis. Lantas dipeluk Amin erat-erat. Amin tak menjawab soalan ibunya, Amin terus dan terus menangis seperti anak kecil di pangku ibu. Teresak-esak.
"Anak ibu ni masih kecik lagi rupanya, nak ibu datang peluk, pujuk-pujuk macam dulu ye bila menangis. Takpe. Dulu masa Amin kecik lagi la Amin kuat nangis tau." Sebak di hati Mak Jah melihat anaknya itu menangis kerana mengingatkan ayahnya, namun si ibu bijak menyembunyikan rasa sayu dan sedih itu. Dia perlu lebih kuat untuk melihat anaknya kuat. Dia tidak mahu melihat anaknya menjadi lemah kerana peristiwa itu, itukan qada' dan qadar Allah.
Dalam esak tangis dipangkuan ibunya Amin menuturkan, "Orang lain di sekolah semua cakap macam-macam pasal ayah Amin.. Amin sedih. Ayah Amin baik. Amin nak naik Vespa tu dengan ayah... Amin nak pergi jalan sampai hujung kampung sana dengan ayah, tengok bendang, main layang-layang... Amin nak teman ayah pergi bengkel Pak Ramlee hias-hias Vespa tu... Amin nak..."Kata-kata Amin terhenti bila Mak Jah menangkup mulut amin dengan tangannya, butir air mata si ibu yang tadi disorokkan kini terlerai juga akhirnya, tak sanggup dia mendengar lagi Amin menyambung bicara.

Pandangan mata ibu dan anak bertentang, dalam kesayuan si ibu menjawab, \"Amin satu-satunya anak ibu. Amin masih beruntung ada ibu di sisi yang jaga Amin. Ada orang lain yang macam Amin sudah tiada ibu dan ayah... Sekurang-kurangnya Amin masih ada ibu kan? Amin kata dulu nak jaga ibu bila ibu dah tua. Nak belajar pandai-pandai, nak merasa duduk luar negara... Kalau Amin asyik sedih macam ni, macam mana Amin nak jaga ibu nanti. Amin kena lebih kuat, lebih kuat dari ibu! Ibu lagi sedih sebenarnya, ibu hilang orang yang ibu sayang, suami ibu. Tempat ibu bergantung lebih sepuluh tahun lamanya. Ayah Amin pergi tak tinggalkan apa-apa pun untuk kita. Tapi ada Amin nampak ibu sedih-sedih?\" Senyap. Hanya suara unggas dan deruman enjin motor yang terdengar dari kejauhan. Mereka berpelukan.
Kata-kata si ibu akhirnya pecah berteman esak tangis si anak,
"Ibu sayang Amin. Kasih sayang ibu sampai ke Syurga.."
"Amin pun sayang ibu.. sayang sangat... sangat."
Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak keturunanku orang-orang yang mendirikan solat, Wahai Pemelihara kami, terimalah doa permohonanku.
"Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan ibu bapaku, serta sekalian orang mukmin, pada hari apabila perhitungan didirikan (hari kiamat)."
[Surah Ibrahim: Ayat 40-41]

Biodata Penulis

Muhammad Hafizuddin Syafiq Suparlan Merupakan Lepasan SPM dari SBPI Sabak Bernam tahun 2006. Kini sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Aktuari di University of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarika. Beliau berkongsi karya di http://www.hafizuddinsyafiq.co.cc/.