Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Friday 17 February 2012

Titisan Tinta Seorang Mujahidah (Episod 2)

“Wah! Laila Laila!! Tengok baju ni. Cantik tak? Sesuai tak kalau aku pakai?” kata Nani bersungguh-sungguh sambil menayang-nayangkan baju blaus biru bercorak bunga itu ke badannya. Dalam hati, aku berbisik. Cantik.
“Eh, kau ni Nani. Tanya pulak. Kau pakai baju apa-apa pun cantik. Tengok lah pulak orangnya. Cantik. Jadi tak kisahlah pakai baju apa-apa pun, sure mata lelaki tak berkelip la.” Bersemangat Laila memberi sokongan. “Tapi kan Nani, aku rasa baju tu macam besar sikit la. Menggelebeh semacam je aku tengok. Apa kata kau ambik saiz S ni. Baru cun.”
Aku memerhatikan saja gelagat 2 orang rakanku itu. Mereka berdua tu memang kaki shopping. Sekarang 2007 sudah hampir melabuhkan tirai. Grand sale dah bermula. Ditambah pula dengan sambutan Merry Christmas bulan depan. Seperti biasa, setiap hujung tahun memang penuhlah Sogo ini dengan manusia. Bagai semut-semut kecil mengerumuni seketul gula. Semua dengan tujuan yang satu. Menghabiskan duit gaji untuk kepuasan duniawi. Bukan setakat RM20, RM30. Sehari sahaja boleh dihabiskan hampir-hampir RM 200! Bagi orang-orang yang sudah berkerja, mungkin jumlah itu dianggap kecil. Tapi bagi kami yang bergantung kepada duit biasiswa, jumlah itu agak banyak. Aku saja sudah menghabiskan RM 150. Membeli baju-baju dan kasut. Aku memang lemah kalau bab-bab kasut ni. Kalau baju, tak adalah aku goyah sangat. Tak apalah, bukan selalu pun kan, aku berkata sendiri untuk menyedapkan hati.
Disebabkan sudah berdiri hampir 2 jam dalam kesesakan lautan manusia, aku mula terasa penat. Seakan-akan kaki semakin berat untuk melangkah. Dikerling jam di tanganku. 3.30 petang. “Eh korang. Dah pukul 3.30 petang ni. Kita tak solat Zohor lagi ni.”
“Asar masuk pukul berapa?” tanya Laila. “Em… kalau tak salah pukul 4.20 kot.” Aku sekadar mengagak. “Oh, kalau macam tu pukul 4 la baru kita gerak. Alang-alang tu boleh solat Asar terus. Tak adalah kena banyak kali turun kan. Lagipun, surau kat Sogo ni sempitlah. Sesak nafas aku. Amacam? Aku nak tengok Jeans Levis ni. Sale 80% kot. Bukan senang nak dapat.” Laila berkata sambil tangannya ligat membelek-belek longgokan jeans yang bertimbun-timbun di depannya.
“Hmm. Betul jugakkan. Aku pun tak suka sangat berhimpit lama-lama dalam surau tu. Rimas.” Aku segera mengiakan sambil tanganku sudah mula sama-sama mengikut mereka berdua mencari-cari jeans yang berkenan di hati. Alih-alih, sehelai lagi jeans aku beli. RM 40. Duit. Duit. Melayang bagai daun kering yang gugur di musim luruh.
Petang itu, kami tiba di rumah sewa pada pukul 8.10 malam. Lagi sepuluh minit azan Isya’ akan berkumandang. Mulalah semua berebut bilik air. Ingin menunaikan solat Maghrib. Kalau Subuh, kita panggil solat gajah jika solat di akhir waktu. Kalau Maghrib ni, aku pun tak tahulah nak panggil apa. Solat ikan paus pun macam layan jugak. Ikan paus kan lagi besar dari gajah.
Malam itu setelah selesai makan malam, seperti biasa semua akan mula membuka beg-beg yang berisi barangan yang dibeli untuk ditunjukkan pada housemates yang lain. “Nani, cantik lah baju yang kau beli ni. Tapi, bukan ke kau dah beli baju baru minggu lepas?” Yati berseloroh sambil cuba untuk memakai baju tersebut. “Eh, kau tak payah la sibuk-sibuk nak cuba. Kau tu berisi kot. Tak muatnya baju ni dengan kau. Ni saiz S la.” Marah Nani. Cepat-cepat diambilnya baju tersebut daripada Yati. “Aku saja beli baju ni. Esok aku nak pergi dating dengan Khairul. Kenalah pakai cantik-cantik. Dah sebulan tak jumpa kot. Rindu.” Ujar Nani sambil tergelak. Rakan-rakan yang lain apalagi. Terus diusiknya Nani.
“Korang. Tengoklah aku beli apa ni. Sandal Vincci.” Aku pula terasa tidak sabar ingin menunjukkan wedges tersebut kepada Yati, Rina dan Ummi yang hanya duduk di rumah sepanjang hari. “Oh. Vincci lagi? Adasale ke?” tanya Rina. “A’ah. 50% less.” Aku tersenyum. “Oh, cantik je. Eh, Nani. Kau dating pukul berapa esok? Kita naik komuter sama-sama la. Aku pun nak turun KL. Jumpa kawan.” Rina terus kembali mengalih perhatian kepada Nani. Aku tersentak. Selalu macam ni. Tidak pernah ada pun yang ingin memberi perhatian kepadaku. Kalau ada apa-apa yang melibatkan hal rumah, aku pasti orang terakhir yang mendapat tahu. Itupun jika aku bertanya. Kadang-kadang aku pun tak pasti sama ada kehadiran aku ini disedari oleh mereka atau tidak. Aku bertanya pada diri aku sendiri, pentingkah aku dalam hidup mereka. Kalau aku tiada di sisi mereka, adakah mereka akan mengambil kisah? Aku terasa bagai tersisih. Aku sedar aku siapa. Tiada apa yang menarik dalam hidupku untuk mereka disekeliling memberi perhatian. Sebak di hati. “Kau ok ke? Semacam je ni.” Bahuku disentuh Yati. “Ok je.” Aku senyum dalam paksa.
Malam itu sebelum tidur, seperti biasa aku membuka diariku. Ingin mencatat kisah hari ini.
10 November 2007, di bilik.
Kepada Cik Diari,
Hmm… Perasaan itu datang lagi. Perasaan disisihkan. Perasaan ditinggalkan. Perasaan tak dihiraukan. Susahnya hendak mencari kawan yang sejati kan. Kawan yang benar-benar memahami aku, kawan yang benar-benar menghargai aku, kawan yang benar-benar menyayangi aku, kawan yang benar-benar menerima aku seadanya.
Cik Diari,
Aku benar-benar berharap satu hari nanti aku akan menemui “kawan” itu. Aku benar-benar rindu untuk menemui “kawan” itu. Seorang “kawan” yang masih belum aku temui. Tapi hati aku benar-benar sudah menyayangi “kawan” itu. “Kawan” yang kini belum aku temui. Tapi terasa bagaikan sudah di sisi.
Aku menutup diari. Titisan jernih itu mengalir kembali. Ya Allah, temukan daku dengan “kawan” itu.
“Kawan” yang belum pernah bersua muka
Adelaide, November 2010
“Oh Mak!” Terkejut aku di saat terasa sesuatu di bahuku. “Yan! Kot ye pun bagi la salam dulu. Terkejut tau. Rasa macam nak terkeluar jantung.” Azyan hanya tersengih-sengih di sebelahku sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. “ Cik adik, saya dah penat ketuk pintu bilik ni. Tak terjawab. Dah panggil nama banyak kali. Tak dijawab jugak. Nak kata tengah study, mata mengadap laptop. Tapi dari tadi pandangdesktop laptop tu je. Kalau laptop tu boleh dimakan, entah-entah dah tinggal separuh dah ditelan. Apa yang ditenung entah kat situ. Bukan sekejap. 10 minit dah kot saya berdiri tengok awak.”
Aku pula yang terasa malu. “Oh yeke. Minta maaf la. Tengah terfikirkan sesuatu.” aku berkata sambil tersenyum kambing. Cover line la konon. “Em. Terfikirkan sesuatu ke atau teringatkan seseorang. Jaga-jaga hati tu Najla. Minta jauh daripada bisikan syaitan. Kita yang berada dijalan ni memang sentiasa ditariknya. Di panjangkan angan-angan.” Kata Azyan sambil tersenyum. Satu gurauan, tapi penuh dengan makna yang mendalam.
“InsyaAllah bukan tu yang saya fikirkan. Minta dijauhkan.” Ujar aku kembali membalas senyumannya.
“Dah pukul 1 ni. Jom solat Zohor. Lepas ni boleh sambung study balik. Tinggal seminggu je lagi exam. Makin dekat kita dengan exam, patutnya makin kuat mujahadah kita. Dan patutnya makin dekat kita dengan Allah kerana pergantungan kita hanya pada Dia semata-mata. Bukannya makin liat kita nak bangun tahajjud. Bukannya makin bertangguh-tangguh kita untuk beribadah padaNya. Betul tak?”
Begitulah Azyan. Salah seorang sahabat kurniaan Illahi padaku. Seorang sahabat yang tidak lekang bibirnya daripada peringatan. Seorang sahabat yang tidak lekang bibirnya daripada teguran. Seorang sahabat yang tidak lekang bibirnya daripada mengajak kepada kebaikan. Seorang sahabat yang berani menyatakan kebenaran. Demi sebuah agama yang diperjuangkan. Demi membetulkan aku jika ada kesilapan. Demi menjadikan aku lebih baik dari semalam.
Azyan, perhiasan maksud namanya. Moga menjadi seindah perhiasan dunia. Dan menjadi bidadari di syurga.
Malam itu, terasa ingin membuka kembali diari yang sudah setahun dibiarkan sepi. Tanganku membuka catatan itu. Catatan 3 tahun yang lalu. Catatan yang tiba-tiba datang menyapa ingatanku petang tadi.
Terasa ingin menulis kembali. Aku capai pen di atas mejaku.
10 November 2010, di meja study.
Kepada Cik Diari,
Tepat 3 tahun yang lalu aku pernah menceritakan kerinduan aku pada “kawan” yang belum pernah aku temui. “Kawan” yang aku cari selama ini.
Cik Diari,
Setelah lama menanti, akhirnya aku dihadiahkan “kawan” itu. Bukan aku yang mencarinya. Tapi dia yang menemuiku. Dia yang mencari aku.
Cik Diari,
Dulu aku mendambakan seorang “kawan”. Akhirnya aku dipertemukan dengannya. Tapi bukan hanya “dia”. Bahkan “mereka”. Dan ikatan yang terjalin antara aku dan “mereka” jauh lebih bernilai daripada nilaian wang, nilaian perhatian, nilaian pujian, nilaian kebendaan, nilaian kecantikkan. Dan ikatan antara aku dan “mereka” bukan sekadar atas ikatan persahabatan.Aku diikat dengan “mereka” atas nilaian aqidah. Ikatan atas nilaian ukhuwwah fillah.
Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih atas pemberianMu yang tak ternilai ini. Aku tak pasti kenapa aku yang terpilih untuk mendapat kebahagian ini. Untuk mendapat sahabat-sahabat seperjuangan ini. Tapi yang pasti, aku bertemu dengan “mereka” adalah keranaMu. Dan aku tahu, pasti suatu hari nanti aku bakal dipisahkan dengan “mereka”. Juga keranaMu. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih.
Cik Diari,
Aku ingin mencari sahabat seperti yang dicari Imam Shafie…
“Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.  Sahabat yang baik adalah yang seiring sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.
Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka.  Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.
Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang.  Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri.”
‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’
Diari itu aku tutup. Tersimpan kemas di dalam laci. Terpandang lecture notes di atas mejaku. Belajar tentang “Addiction”. Aku tersenyum sendiri. Benar, aku sekarang rasa addictedAddicted untuk mencari “kawan” itu lagi. Addicted untuk menemui “kawan” itu lagi. Addicted untuk menambah “kawan” itu lagi. “Kawan” yang belum pernah bersua muka. Namun aku yakin, tautan hati aku dan “dia” pasti tetap utuh. Walaupun tiada sebab untuk aku berkawan dengan”nya”. Tanpa “dia”, aku tetap mampu menjalani hidup seperti biasa. Tapi aku rindu untuk menemui”nya”, semata-mata kerana Sang Pencipta.
Daripada Abu Hurairah r.a. yang maksudnya, bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan. Lalu malaikat itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?” Lelaki tersebut menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”. Malaikat bertanya lagi, “Adakah bagimu bumi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?” Tidak, aku mencintainya kerana Allah SWT. Maka berkatalah malaikat itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau. Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia kerana Allah”. (Hadith riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment