Sunday, 1 January 2012

2 cinta yang x mungkin bersama.

“Abang, macam mana kalau kita ni setiap hari solat. Tetapi, kita tak boleh nak tinggal tengok movie-movie yang ada unsur tak baik ni. Kadang-kadang jadi seronok pula tengok ‘benda’ yang macam tu. Macam mana tu?” tanya seorang adik.

Ini penyakit yang biasa dialami oleh majoriti masyarakat kita. Solat, solat, tetapi masih tetap buat maksiat.

Baca Al-Quran, tetapi dengan hubungan dengan ayah ibu lebih kurang je.

Rajin ke masjid, tetapi rokok masih menjadi teman setia di mulut pada masa-masa lapang.
Terlibat dalam kerja-kerja dakwah, tetapi caci maki dan mengumpat masih tidak dibuang.

Iltizam dalam melaksanakan qiamullail, tetapi masih tidak dapat tinggalkan zina hati, dan zina mata.

Semangat dalam membantu isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Somalia, tetapi bab solat fardhu tidak terjaga dan diketepikan.

Buat yang baik, tetapi yang tidak baik pun ikut sama. Buat yang pahala, tetapi cinta juga kepada perkara dosa.

Mungkinkah perkara yang kebaikan, yang Allah ganjarkan pahala dapat ‘duduk’bersama dengan perkara yang buruk dan dosa?
Mungkinkah jalan ke syurga itu sama atau sehala dengan jalan ke neraka?

Tidak. Tidak sekali-kali sama kedua-duanya.


JANGAN BUAT ‘KERJA GILA’ !

Orang tidak membina bangunan baru di atas serpihan bangunan yang lama, dinding yang telah pecah-pecah, tapak yang sudah tidak kukuh.
Jika masih ingin digunakan kawasan itu, maka dibersihkan kesan-kesan runtuhan itu, dan dibangunkan bangunan yang baru.

Kerja gilalah jika ada orang yang mendirikan bangunan baru di atas serpihan-serpihan lama yang sudah tidak kuat strukturnya, bahkan tapaknya pun yang sudah tidak kukuh. Itu sengaja mencari nahas namanya.

Bahkan, yang lebih ‘gila’ lagi adalah apabila kita sendiri dengan sengajanya meruntuhkan bangunan yang telah kita bangunkan.

Bayangkan begini. Anda ingin bangunkan sebuah bangunan 4 tingkat. Bangunan itu siap baru 1 tingkat, kemudian anda sudah merobohkannya. Kemudian bangunkannya semula, dan bila siap di tingkat 1, dirobohkan pula. Bila akan siap bangunan anda?

Sampai bila-bila pun tidak akan siap. Mahu bangunan itu dibangunkan, tetapi kemudian dengan sengaja merobohkannya, bila baru suku atau separuh siap.

Kerja membina bangunan itu bukan mudah. Perlu ambil kira semua sudut. ‘Piling’nya, bancuh simen lagi, nak susun bata lagi, nak buat itu dan ini. Banyak kerja. Tetapi, bila sengaja dirobohkan, tidakkah itu dikatakan ‘kerja gila’?

Ya. Memang. Tetapi, dalam kehidupan, ramai di antara kita yang terlupa.
Bahkan, mungkin kita juga termasuk dalam kalangan yang buat ‘kerja gila’ itu.
Amal belum sampai ke syurga, tetapi di tengah perjalanan sudah merosakkannya.

Menyatukan dua cinta yang tidak mungkin bersama, mungkinkah?


CINTA SYURGA, DALAM MASA YANG SAMA CINTA JUGA KEPADA NERAKA?

Mana mungkin dua cinta ini bergabung dan bersatu dalam hati kita. Kerana kedua-dua cinta ini adalah saling bertentangan antara satu sama lain.

Cinta dan inginkan syurga, maka mestilah melalui jalan iman.
Itu adalah janji Allah yang memang tidak dapat disangkal lagi :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Kami benar-benar tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya. mereka itu, disediakan syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah syurga tempat berehat yang sebaik-baiknya.”

[Al-Kahfi : 30-31]

Cinta kepada neraka, jalan yang dipandu oleh nafsu, maka bersedialah untuk menanggung akibatnya :

“Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga. Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya!”

[Maryam : 86-87]

Perhatikanlah dengan teliti. Tidak sekali-kali ada persamaan antara kedua-dua jalan itu.

Tidak mungkin kita ingin membangunkan IMAN, kemudian dalam masa yang sama kita bangunkanNAFSU. Tidak mungkin !

Tidak mungkin kita ingin bangunkan ISLAM, kemudian dalam masa yang sama, kita memberi peluang dan ruang, bahkan bersekongkol dengan JAHILIAH, denganKAFIR untuk menghancurkan ISLAM.


Bila NAFSU diberi ruang, maka IMAN dalam diri kita akan mula runtuh sedikit demi sedikit.
Bila kehendak nafsu dipenuhi, maka tuntutan-tuntutan iman akan mula menjadi longgar dalam diri kita sehingga akhirnya, lama-kelamaan, kita akan tinggalkan terus tuntutan iman itu dalam diri kita.

Sedikit sahaja ruang diberi kepada jahiliah untuk menapak di hati kita, maka kita telah merosakkan dan mencemarkan ruang-ruang keislaman dalam hati kita.

Maka, tidak hairanlah kalau ada yang membaca dan menghafal Al-Quran, tetapi baginya rokok itu bukanlah haram.

Tidak hairan juga, kalau ada yang solat, tetapi pergaulan lelaki perempuan yang berlebihan itu tidak apa-apa bagi dirinya.

Janganlah rosakkan AMAL kita. Pilihlah cinta yang hakiki yang menguntungkanAMAL kita.
Biar nanti solat, baca Al-Quran, pergi ke masjid, kerja-kerja dakwah dan kebajikan yang lain memberi nilai di depan Allah.

Campuraduk IMAN dengan NAFSU tidak akan memberi nilai kepada AMAL kita di sisi Allah.
Begitulah juga, campuradukkan ISLAM dengan JAHILIAH, tidak akan menampakkan kesempurnaanISLAM yang sebenar.

Kita perlu ambil satu, dan tinggalkan yang satu lagi.
Ambil Islam, dan tinggalkan jahiliah.
Ambil Islam, tidak tinggalkan jahiliah, samalah seperti perumpamaan orang yang membina bangunan dan meruntuhkannya semula  dengan tangannya sendiri.


PENUTUP : TIDAK CUKUP SEKADAR AMBIL ISLAM, TINGGALKANLAH JAHILIAH

Sekiranya kita bangunkan ISLAM di atas serpihan bangunan JAHILIAH, maka kita sebenarnya belum mengambil ISLAM yang sebenar.

Kerana asasnya (tapak) itu, masih adalah asas jahiliah. Maka, tidak akan diperolehi Islam yang sebenar.

Bila IMAN dicorakkan mengikut kehendak NAFSU, maka tidak hairanlah wujudnya istilah ‘couple Islamik’ sebelum pernikahan.

Orang yang ingin menuju ke utara, tidak mungkin ambil jalan ke selatan.

ISLAM yang sebenar, bukan yang didirikan atas asas JAHILIAH, tetapi berdiri di atas asasnya yang sendiri. IMAN yang sebenar, tidak dicorakkan oleh NAFSU, tetapi dicorakkan oleh neraca Allah.
NERACA ALLAH yang menentukan baik buruk, bukan nafsu yang membantu menentukan.

Bila nafsu yang menentukan untuk kita, maka Islam akan dipergunakan mengikut kehendak nafsu

Kata As-Syahid Sayyid Qutb :

“Selangkah kamu melangkah ke jahiliah, selamanya kamu meninggakan Islam.”

Justeru, tidak cukup hanya sekadar ambil ISLAM, tetapi perlu juga tinggalkan JAHILIAH !



sumber:http://tinninun-alislam.blogspot.com/2011/09/ambil-satu-tinggalkan-satu-lagi.html

No comments:

Post a Comment