Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tuesday 10 January 2012

Cebisan Hidup

Tanpa aku sedar, air mata mengalir di pipi. Pantaslah pipiku terasa panas. Usaha ku usap air mata yang berguguran di pipi. Entah mengapa, tiba-tiba air mataku mengalir hebat saat petak ingatanku mengulang kembali kisah silamku, perjalanan hidupku, kisah hidupku. Allahu.. Banyak liku2 yang aku lalui. Sungguh aku tak sangka, aku boleh jadi tabah sebegini. Meski aku tahu, dugaan hidupku tidaklah sehebat mana. Namun, tanpa dugaan yang sedikit itu, tidaklah aku belajar tabah seperti ini. Ku ulang dengar kembali lagu 'Istikharah cinta' di youtube. 
Pantas saja kotak memori memusing waktu pada saat aku dibelenggu. Hehe.. Tidak aku sangka, aku sejiwang ini. :) Ahh, Biarlah apa yang hendak dikata. Setiap bait katanya memang kena dengan situasi aku sewaktu aku terbelenggu dahulu. Masih segar di kotak ingatan. Aku dilamar dua jejaka sekaligus dalam satu masa. :) Kedua-duanya baik. Namun, aku tidak tahu untuk memilih. Ingin aku memilih yang kedua, aku amat menyayangi yang pertama. Ingin aku memilih yang pertama, yang kedua sangat aku yakin dapat membimbingku. Entahlah. Aku sendiri dalam delima. Tidak tahu mana satu yang harus ku pilih. Kadangkala, mengalir juga air mataku memikirkannya. Bukan apa, bagiku, dugaan ini agak berat, memandangkan aku bukanlah seorang yang kuat. Namun, aku yakin Allah takkan menguji sesuatu melebihi kemampuan hambaNya. Sungguh! Memang sangat susah menjaga dua hati dalam satu masa. :) Namun ku gagahi mengukir senyum di bibir ini. Tiada yang curiga, tiada yang mengesyaki aku punyai masalah. :) Aku diam, berfikir sendiri. Otakku ligat memikir mana satu inginku pilih. Namun, acap kali aku fikir, air mata pasti mengiringi. Aku tidak sanggup lagi! Benar! Aku tidak sanggup! Biarlah Allah yang menentukan segala.  Aku hanya perlu akur hadapi ketentuanNya. 

Malam itu, sekitar jam 3-4 pagi, aku bangun menuju ke tandas. Niatku ingin mengambil wudhuk buat menunaikan solat sunat istikharah. Aku menutup pintu tandas perlahan. Beberapa saat kemudian, terdengar junaman air ke lantai. Aku mengambil wudhuk dengan teliti. Biar semuanya kena. Aku ingin mengambil wudhuk sesempurna mungkin. InsyaAllah.

Usai berwudhuk, aku mengambil tuala kecil yang tersidai di birai katilku. Ku raup mukaku lembut. Sedikit lega berbanding tadi aku rasakan. Aku menuju ke tempat penyidai telekung. Ku hamparkan sejadah perlahan. Ku kenakan telekung di batang tubuhku. Kakiku melangkah perlahan ke almari mekapku. Ku tatap mukaku sejenak di cermin berbingkai coklat. Ku renung setiap sudut wajahku. Alhamdulillah sempurna. :) 

Kakiku lantas beralih menuju ke tempat sejadah dihamparkan. Mulutku terkumat kamit membaca tiga qul. Tidak sampai beberapa minit, aku mengangkat takbir serentak niat. Ku rendahkan hatiku serendah-rendahnya di hadapan pencipta. Ruku', I'tidal, Sujud, Duduk antara dua sujud, kemudian sujud lagi, kemudian aku bangun semula buat rakaat yang keduanya. Semuanya aku lakukan teliti, diharap solatku diterimanya. Usai salam, aku meraup mukaku perlahan. Aku duduk bersimpuh. Berzikir sebentar. Istighfar, Hamdalah, dan pelbagai kata puji aku rafa'kan pada Ilahi. Aku memulakan doaku dengan ayatul kursi, kemudian 3 qul dan kemudiannya, aku memulakan bicaraku dengan Yang Maha Esa. 

"Ya Allah.. Pada malam syahdu ini, aku bersujud menghadapMu dan menghambakan diriku padaMu. Aku mengaku tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau dan Nabi Muhammad itu pesuruhMu. Ya Rabbi, di sejadah cintaMu ini, aku memohon dan merayu padaMu, Kau singkapkanlah segala keraguan yang aku hadapi. Kau tunjukkanlah yang mana satu terbaik buatku. Ya Rahman.. Jangan Kau biarkan aku tertanya-tanya dalam keraguan. Kau jelaskanlah pada siapa yang Engkau mahu aku bersama. Kerana tiada lain dan tidak bukan hanyalah keredhaanMu yang aku harapkan. Justeru itu, jawapan dariMu amatlah aku harapkan. Memandangkan Kau adalah penciptaku, dan aku adalah makhlukMu yang lemah, aku ingin jawapan terus dariMu. Bantulah aku dalam membuat pilihan yang terbaik. Yang terbaik buat diriku, keluargaku, dan yang paling penting adalah buat agamaku. Aku bimbang jika aku memilih yang salah. Aku bimbang jika aku tidak mendapat keredhaanMu. Oleh itu, Kau singkapkanlah segalanya. Tunjukkanlah kebenarannya. Jelaskanlah padaku, siapakah yang terbaik buatku. Hilangkanlah segala raguku. Buangkanlah segala rasa was2 ku. Cukuplah jawapanMu untuk pilihanku. Aku redha. Andainya 'dia' adalah lelaki yang Kau tetapkan buatku, aku redha. Aku redha ya Allah. Kau lapangkan dadaku agar mudah buat aku menerimanya. Tapi, seandainya 'dia' bukan untukku, Kau tabahkan hatiku, agar aku redha atas segala ketetapanMu. Agar aku tidak mempersoalkan taqdirMu. Ya Khaleeq, aku tahu Kau adalah pencipta segala makhluk yang berada di langit dan di bumi, Kau jugalah penjaga setiap hati makhlukMu, maka, Engkaulah yang lebih mengetahui segalanya. Oleh itu, berikanlah aku jawapan atas persoalanku ini. Jangan Kau biarkan aku terus2an dalam ragu. Aku memohon hanya padaMu. Berikanlah jawapannya. Aku redha atas segala yang tertulis dalam sejadah cintaku.  Biarlah ia perit, zikrullah padaMu sudah cukup mengubati.Tetapkanlah pilihan sebagai teman perjuanganku dalam memperjuangkan agamaMu. Ya Malik, jika benar 'dia' yang Kau ciptakan untuk menjadi suamiku, Kau tanamkanlah rasa cinta buatnya di dalam hatiku tanpa berbelah bagi pada sesiapa pun. Biarlah cinta yang ditanam itu sentiasa mekar sehingga ke JannahMu. Kau tetapkanlah cinta itu tanpa berpaling buat orang lain. Jangan Kau balik2kan hatiku untuk mencintai orang lain selain darinya. Mudah2an ketulusan cintaku buat suamiku nanti menjadi aksara untukku ke syurgaMu.. Ya Rahim, jika cinta, kasih dan sayang telah Kau tanam dalam hatiku, jangan Kau biarkan ia melebihi dari cinta, kasih, sayang dan rinduku padaMu. Kerana sesungguhnya aku teramat-amat bimbang mendapat murkaMu. Seperti yang Kau maklum, aku amat mengharapkan redhaMu dalam setiap langkahku. Aku mengharapkan mawaddahMu dalam setiap hela nafasku. Oleh itu, sangat2 aku harapkan agar Kau memberikan jawapan yang terbaik buatku.. Ameen Ameen Ya Rabbal 'alameen.." 

Air mataku tumpah lagi. Ku kesat pantas air mataku. Aku masih terduduk simpuh di sejadah berwarna coklat itu. Air mata masih tidak berhenti meski sudah beberapa kali ku kesat. Ahh, Biarlah air mata ini mengalir. Tidak mampu lagi untuk aku tahan. ''Baik aku baca quran'' hatiku berdetik. Tanganku lantas mencapai mushaf berwarna hijau. Ku baca setiap bait ayat-ayat cinta yang indah itu. Hatiku sayu. Teramat sayu. Namun, ku teruskan membaca sehingga habis surah Thaha.. Usai satu surah, aku menutup mushaf hijau itu. Ku rapatkan mushaf itu ke dada. Tenang dirasakan. Sedikit tenang berbanding tadi. Aku tersenyum sendiri. Benarlah, al-Quran itu pengubat jiwa. Mataku sudah mula layu. Aku menguap. Lantas tangan aku menutup mulut yang menganga luas itu. Aku berdiri sambil meletakkan mushaf hijau kesayanganku itu di atas meja belajarku. Telekung yang hinggap di batang tubuhku itu ku buka perlahan. Aku kembali menyidainya di tempat penyidai. Sejadah ku ambil dan ku sidaikan di tempat yang sama. Aku berjalan menuju ke katil. 

Aku melabuhkan punggungku di atas katil empukku. Kepala aku rebahkan di atas bantal lembutku. Mata ku tutup perlahan sambil mengucap, membaca ayatul kursi dan membaca 3 qul. Sebelum aku benar2 lena, aku berdoa perlahan ''Mudah2an aku mendapat petunjuk. Dan mudah2an esok adalah lebih baik dari hari ini. Ya Allah, andainya esok masih aku berpeluang membuka mata, Kau jadikanlah hari esokku sebagai waktu untuk aku memperjuangkan agamaMu. Jadikanlah aku muslimah yang berguna dalam agamaMu..Ameen..''

~ Fatin Mujahidah ~

No comments:

Post a Comment