Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Sunday 1 January 2012

seteguh kasihmu

Jujur aku katakan, tidak pernah aku lihat insan yang setabahnya. Sejak berusia enam tahun lagi, dia telah menggalas tugas sebagai ibu dan ayah di rumah. Sebagai anak sulung, ketiadaan ibu dan ayah yang membanting tulang, untuk mencari sesuap nasi telah memaksa dirinya menjalankan tanggungjawab sebaagai seorang kakak terhadap 12 orang adik-adiknya.

Tangannyalah yang membesarkan adik-adik. Cuma dia tidak melahirkan mereka sahaja. Tetapi, sejak adik-adiknya masih bayi lagi, kedua ibu bapanya mengharapkan dan yakin akan kebolehan dirinya menjaga adik-adik yang masih kecil lagi. Tangan itulah yang memberi mereka makan, memandikan mereka, mengajar mereka dan membantu mereka. Begitu besar pengorbanannya terhadap keluarga. Namun, semua ini memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Disebabkan faktor kemiskinan, dan komitmen menjaga adik-adik, dia sanggup tidak hadir ke sekolah, walaupun hatinya memberontak untuk belajar. Dia tidak patah semangat. Walaupun tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah, dia belajar sendiri di rumah setelah memastikan segala kerja rumah dan adik-adiknya telah makan, tidur atau atau dalam keadaan yang selamat.

Namun, bak kata pepatah, langit tidak selalunya cerah. Setiap kali, dia mahu belajar, dia berasa hendak demam. Kakinya pula,kadang-kadang sejuk, kadang-kadang panas. Badan berasa lesu dan tidak bermaya. Dia juga menghadapi masalah sukar untuk tidur. Hatinya berasa tak tentu arah.

Oleh kerana, tidak tahan dengan penyakitnya itu, dia pergi berubat dengan ramai bomoh seorang diri. Maklumlah, kedua ibu bapanya sibuk bekerja mencari rezeki. Dalam keadaan dirinya yang sakit, dia masih mampu untuk pergi berubat. Ramai bomoh mengatakan bahawa dia terkena buatan orang. Menurut bomoh itu lagi, orang tersebut iri hati akan kecantikan dan kepandaiannya itu. Apabila dia  mengadukan hal ini kepada ayahnya, ayahnya tidak mempercayai kata-katanya. Betapa pilu hatinya tatkala mendengar ayahnya berkata sedemikian. Hanya Allah yang tahu betapa sakitnya penderitaan yang ditanggung.

Kadangkala dia menangis seorang diri menahan kesakitan yang teramat sangat. Zaman anak daranya, suram. Tidak seperti anak-anak dara lain. Pada usia semuda 20-an, pelbagai penyakit yang terpaksa ditanggungnya. Berbekalkan semangat dan ketabahan, dia pergi berubat seorang diri tanpa ditemani ibu dan ayah, Namun, penyakitnya masih juga belum sembuh. Sehinggalah, dia berkahwin. Ayahnya yang beriya-iya suruh dia berkahwin,sedangkan hatinya tidak mahu kerana dirinya tidak sihat. Tetapi, apakan daya sebagai anak dia akur.

Setelah dikurniakan enam orang anak, penyakit tidak boleh tidur, badan lesu, lenguh-lenguh badan masih juga ada. Sudah 30 tahun, dia tidak boleh tidur dengan lena. Kalau tidur pun hanya sejam atau dua jam pada waktu malam. Walaupun dalam keadaan yang sakit, dia tetap kuatkan semangat untuk menjaga anak-anaknya. Begitu cekal dirinya, menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Tidak ada seorang pun anaknya diberikan kepada orang lain untuk dijaga walaupun ibu mertuanya pernah meminta anak sulungnya untuk dijaga, disebabkan kesihatan dirinya yang tidak mengizinkan dia menjaga anak. Menitis air matanya, tatkala ibu mertuanya menyatakan hajatnya itu. Setelah melihat deraian air matanya, ibu mertuanya faham bahawa kasih seorang ibu hingga ke syurga. Dia tidak rela berpisah dengan anaknya.

Kehidupan berumah tangga bukanlah mudah. Dengan gaji suami yang tidak seberapa, mereka suami isteri sanggup berkorban tidak ada baju raya asalkan anak-anak dapat memakai baju raya baru. Apabila anak-anak sakit, cepat-cepat mereka hantar ke klinik. Tetapi, kalau mereka yang sakit, mereka hanya bertahan, dan telan panadol sahaja. Segala keperluan kami disediakan dengan sempurna. Walaupun terpaksa berhutang, mereka sanggup demi anak-anak tercinta. Di kala, anak-anaknya berasa tertekan dengan pelajaran, mereka banyak memberi kata-kata semangat dan nasihat. Doa dan usaha mereka lah, yang membuatkan anak-anaknya berjaya pada hari ini.



Ya Allah, begitulah pengorbanan insan bergelar ibu dan ayah. Ya, merekalah Mama dan Abahku!

Entah bagaimana lagi harus aku ceritakan kepada kalian, tentang dua insan yang banyak berkorban untuk anak-anaknya. Dengan perjalanan hidup Mama di atas, aku sendiri tidak mampu menghadapinya sekiranya aku berada di tempat Mama. Kerana aku tidak sekuat Mama.

Daripada zaman kanak-kanak, remaja hinggalah berusia 48 tahun, dia masih menanggung kesakitan. Suatu hari, aku pernah berdoa,

"Ya Allah, biarlah aku yang jadi pengganti Mama. Pindahkanlah kesakitan Mama itu kepada diriku. Aku tak sanggup melihat Mama menanggung kesakitan. Berikanlah nikmat kesihatan kepada Mama. Ampunkanlah segala dosanya. Dan kurniakanlah kesejahteraan kepada Mama & Abah di dunia dan akhirat."

"Panjangkanlah umur Mama dan Abah agar aku berpeluang untuk membalas segala jasa mereka. Biarlah aku pergi dulu menghadap-Mu, daripada mereka. Sesungguhnya, aku tidak sanggup kehilangan mereka. Biar mereka yang kehilangan aku, jangan aku yang kehilangan mereka. Merekalah nyawaku Ya Rabbi ! Terima kasih Mama, Abah atas doa dan restu yang kalian berikan, yang setia menemani anakmu ini dalam perjuangan menuntut ilmu. Berjayanya kami, anak-anakmu adalah berkat doamu dan rahmat Maha Pencipta."

No comments:

Post a Comment