Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Wednesday 4 January 2012

ADA SOLEHAH DALAM DIRIKU

zah mengirai-ngirai rambutnya yang masih basah. Diselak-selak sendiri dengan tangannya yang mulus. Kemudian, dilap kembali dengan tuala pinknya. Membalut, seterusnya menyanggul rambut ikal mayang basah nya itu.
Dia menapak ke sisi katil. Telefon bimbitnya digagau di bawah bantal. Ia berkelip. Ada dua mesej tertera. Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk dibuka. Izah duduk di tepi katil, lantas menekan butang 'open'. Ada mesej dari Ikhwan, ada mesej dari Dzikry. Sambil senyum tipis, membaca sekilas mesej Ikhwan, Izah membiarkannya. Membuka pula mesej Dzikry, juga tersenyum tipis.
Izah berkeputusan membalas kedua-dua mesej tersebut. Sebetulnya sebelum mandi tadi, memang dia sedang bermesej dengan kedua-dua lelaki itu. Dia meletakkan telefon bimbit itu ke atas meja belajarnya. Mengambil losyen Nivea kemudian melumurkan ke bahu kanannya. Jam dari laptopnya berdenting sekali menandakan sudah pukul 7 malam.
Sambil meratakan losyen ke seluruh lengan kanannya, Izah menekan butang 'reply'.
"X wat apa pun..baru siap mandi.."
Izah menekan butang send.  
Pintu bilik diketuk perlahan. Salam halus kedengaran pintu bilik dikuak. Muncul Fasihah dengan senyumannya yang manis. Rambutnya juga dibalut dengan tuala, persis Izah. Cuma yang berbeza, Fasihah nampak manis dan sopan dengan baju kelawar bercorak batik labuhnya. Berlengan panjang santak ke hujung lengan. Warna biru laut yang ceria, dihiasi warna-warna pastel yang lain. Tompokan bunga pink, kuning, hijau epal dan lilac tambah menyerikan gadis itu. Sedang Izah ada di birai katil, dengan handphone di tangan, masih selesa berkemban dengan kain batik.
Fasihah cermat-cermat meletakkan baldi berisi bekas mandi dan peralatan mandinya bersebelahan baldi Izah di ruang kanan bilik itu. Kipas siling di bilik 30x25 itu berpusing ligat. Fasihah lantas meleraikan balutan rambutnya. Terurailah rambutnya yang ikal mayang berkilat santak ke punggung itu. Dia mengambil sikat dan menyikatnya perlahan. Usai merapikan rambut, dia terus menyarungkan jubahnya. Anak telekung dipakai, dan telekung solat disuakan ke mukanya. Dia membuka lokernya, menyorong laci seterusnya mengeluarkan sepasang sarung kaki coklat yang baru. Menutup pintu loker seterusnya mengenakan sarung kaki tersebut.
Izah terus-terusan menghadap handphonenya. Fasihah melihat wajahnya sekilas di cermin. Jam berdenting sekali lagi dari laptop Izah menandakan sudah pukul 7.15 malam.
"Ahh..aku perlu cepat. Tak lama lagi azan akan berbunyi. Nanti tak sempat pula nak beriktikaf dan solat sunat qabliyyah," bisik Fasihah.
Fasihah senyum sekilas pada Izah. Izah hanya membalas dengan pandangan kosong. Fasihah terus keluar dan menutup pintu cermat-cermat, dengan Al-Qur'an hijau kesayangannya di tangan kanan. Tanda tanya timbul dalam hati Izah.
"Aik..selalunya dia ajak aku ke surau bersama.. Em, takpelah..bagus jugak. Takdelah aku serba salah nak cari alasan.. Peliknye..nak pi surau je, dekat je pun..nak pakai stokin jugak..hai.." Izah senyum sinis sambil terus menyambung menaip pesanan ringkas.Dzikry menunggu di hujung sana.
Tepat pukul 9.30 malam, Fasihah pulang dengan menjinjit beg plastik. Masih dengan senyumannya, dia hati-hati meleraikan telekung solatnya yang sedikit biru nila itu. Usai disangkut di hanger, lantas menggantungnya di hujung katil, Fasihah menyuakan bungkusan itu pada Izah yang leka mengadap laptopnya. Ada bunyi deringan menandakan mesej masuk. Bunyi mesej YM.
"Zah, jom makan sama-sama. Ada biskut raya. Amalina yang bagi, dia ajak singgah ke biliknya lepas solat Isya' tadi. Baik sangat dia, padahal baru kenal tadi."
Izah berpaling sekilas sambil senyum.
"Emm, takpelah. Kite dah makan petang tadi. Awak makanlah. Malam kite tak makan sangat..takut badan naik..haha," jawab Izah berbasa-basi.
"Owh..ye ke..baguslah. Doktor, mesti jaga kesihatan kan.." Fasihah senyum ceria.
Fasihah mengambil sekeping biskut Almond London, menyuakan ke mulut. Getaran Bismillah kedengaran halus. Usai mengisi lebihan biskut ke dalam tabung biskut di rak teratas, Fasihah mencapai buku teks Usul Akhamnya. Duduk mengadap ke arah kiblat, Fasihah membuka buku tersebut dengan bacaan Bismillah.
"Eii.. tolongla jangan panggil aku Zah. Macam nama orang tua je.. Em, hairan aku. Ramai betul kawan dia. Kejap Sumayyah, kejap Suhaila, kejap Aina, kejap Amalina..mm..apa-apa jelah..." gumam Izah di dalam hatinya.
Pukul 11.30 malam, Fasihah beberapa kali menguap. Izah masih tekun di hadapan laptopnya. Facebook sedang dilayari. YM masih terus dilayani, malah tambah rancak berbunyi.
Fasihah bangun mengambil baldinya. Dia keluar ke tandas yang berada selang beberapa bilik dari bilik kediamannya, D643. Usai memberus gigi, membersih muka dan meratakan air wudhu', dia menapak ke biliknya.
Fasihah membuka mushaf kesayangannya, menyelak tali oren, tempat tanda Surah Al-Mulk. Usai membaca habis surah itu perlahan-lahan, dia menutup mushaf itu, mengucup, mencium dan meletakkan ke dadanya. Erat.
"Zah, hah tidur dulu ea. Em, Zah jangan tidur lewat sangat tau... nanti ada black circle.. nanti hilanglah keayuan Zah..hehe.."
Izah senyum pada Fasihah.
"..Baiklah.. kite pun dah ngantuk jugak ni.."
Fasihah sudah lena dibuai mimpi. Dia tidur mengadap kiblat, dengan rusuk kanan berada di bawah. Desahan nafas halus berirama perlahan.
Pukul 12.30 malam, Izah masih di hadapan laptopnya.
"Ahh..belum solat Isya' lagi..tapi ngantuk la pulak.. Em..tidur dululah. Bangun pukul 4, baru Solat Isyak.."
Izah terus merebahkan badannya ke atas tilam empuk bercadar pink bunga merah itu, sambil menetapkan alarm telefon bimbitnya pada pukul 4 pagi. Tidak lama untuk dia mula belayar di lautan mimpi...
Pukul 3 pagi, Fasihah bangun. Menyucikan diri, menyucikan hati dan nawaitu. Menyegarkan diri dengan air wudhu', Fasihah mengenakan telekung solatnya. Sengaja dia menggantung telekung di hujung katilnya, agar terbangun sahaja, dia dapat melihat telekung itu seraya mengingatkan dirinya untuk solat malam.
Ahh.. solat malam. Nabi Muhammad S.A.W yang maksum, dicintai Allah dan pasti masuk syurga itu saja solat hingga bengkak kakinya. Sedang aku ini.. Maksum? Jauh sekali. Dicintai Allah?? Tak pasti... Syurga?? Ahh.. aku yang hina begini.. entah lah Ya Rabbi. Justeru itu.. izinkan aku bangun di dini hari-Mu ini.. meratap sendu di kaki-Mu Ya Ilahi Rabbi..memeluk bayangan-Mu Ya Habibi Qalbi.. bersimpuh tulus di hadapan-Mu Ya Naasiri..Ya Waliyyi..Anta Maqsuudi..Waridhaaka Mathluubi..
Sekejap sahaja air mata penuh di tubir mata Fasihah. Sendunya berlagu perlahan.. bimbang didengari teman sebilik. Dalam doa dia bertawakkal. Bulat, penuh. Usai berzikir perlahan, membaca Al-Qur'an barang tiga muka, solat witir, Fasihah merebahkan badan kembali, dengan mata yang masih basah.
Baru sahaja dia ingin melelapkan mata, handphone Izah berbunyi. Lagu Lady Gaga.
"Bunyi call? Atau alarm? Tapi biasanya kalau call... bunyinya macam lain.." Fasihah terkejut.
"Emm, pukul 4 pagi. Bangun bertahajjudkah?" Fasihah berteka-teki.
"Alhamdulillah.."
Sudah 3 kali handphonenya berulang dering. Namun Izah hanya bergerak-gerak tanpa memberi tindak balas apa-apa.
"Mungkin dia tidur lewat. Penat benar.." terka Fasihah.
Atas dasar sahabat, dan mungkin niat yang baik di disisi Izah, Fasihah menggerakkan Izah. Mungkin benar dia mahu bertahajjud, kasihan dia jika terlepas. Atau ingin mengulangkaji.. tidak kisahlah. Yang pasti tentu dia ada maksud tersendiri untuk bangun di dinihari itu. Jikalau tidak, masakan dia set alarm handphonenya.
"Zah.. Em.. Izah... Izah. Izah nak bangun ke?" Fasihah menyentuh kaki Izah lembut. Kemudian, Fasihah berhati-hati menggoncang bahu Izah.
"..Ha..Emm..Ya..Ya.." Izah menggosok-gosok matanya. Dia bangun dan duduk di birai katil. Mematikan alarmnya.
Fasihah kembali merebahkan badannya di katil. Cadar warna ungu muda itu dikemaskan sebelum dia merebahkan badannya. Dia tidak tahu bahawa Izah sebenarnya terlena kembali.
Tepat jam 5.30 pagi, Izah terbangun kembali.
"Aduh!! Solat Isya'!"
Mengerling handphonenya sekilas, Izah buru-buru ke tandas untuk mengambil wudhu'. Fajar Subuh akan menyinsing sekejap lagi.
Usai solat, itupun cuma 2,3 minit, Izah melepaskan kelelahannya yang berbaki.
"Ah..nasib baik sempat. Tak pasal-pasal aku kena ganti nanti... macam dua hari lepas..."
Bukan tak selalu Izah begitu. Qadha' solat disebabkan kebiasaannya melewat-lewat dan menangguh-nangguhkan solat. Itupun jika rajin dan teringat. Sudahnya dibiarkan sahaja tanpa menggantinya. Dalam remang bulan dan cahaya lampu mejanya, Izah tertangkap pada helaan nafas halus. Cukup teratur. Ia begitu mendamaikan. Lantas Izah menyoroti pula wajah itu. Ia tambah mendamaikan jiwa.
"Tak banyak beza antara aku dan dia. Rambutnya ikal panjang, lebih kurang sama saja dengan aku. Aku lebih cerah. Aku juga lebih kurus dari dia. Tapi, kenapa dia sangat menawan hati? Renungan matanya bening dan cerah. Kalau aku pun dah fikir begitu, entah apalah pandangan dan fikiran lelaki lain. Agak-agaknya dia ada tak pakwe? Tak pernah sekali pun dia cakap pasal lelaki. Kalau kawannya datang, tak pernah pun bincang pasal topik tu.. habis-habis tentang kuliah-kuliah agama, usrah, isu-isu semasa... tarbiyyah...apa tu? Aku??.." Izah bermonolog dalam hati sendiri.
"..Waktu tidur, Fasihah lagi cantik. Sangat puas menatap wajahnya yang lembut dan bersih itu. Aku? Entahlah...Ahhhhh..." Izah membanding beza lagi. Menjerit kecil dalam relung hati sendiri.
Pandangan mata Izah tertancap pada tangan Fasihah. Lengan bajunya tersingkap ke paras siku. Ada garis di situ. Garis di pergelangan tangannya jelas kelihatan.
"Ah.. jarang sekali untuk melihat lengannya begitu, apatah lagi sering berkemban macam aku.. Ya Allah, dia sebenarnya sangat putih. Cuma tangannya je yang sedikit berlainan. Inilah bukti dia menutup auratnya dengan baik sejak dahulu.. sedang aku? Selesa berlengan pendek ke sana ke mari.." Izah mula sebak.
Dia memandang kembali wajah Fasihah. Garis yang sama juga kelihatan di sekeliling wajahnya yang penuh itu. Ini kerana dia istiqamah dengan tudung labuhnya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menurut foto yang dilihat Izah di atas meja belajar Fasihah.
"..Ya, dia sebenarnya lebih putih dari aku.. lebih cantik dari aku. Aku sahaja yang perasan lebih sebelum ini. Tapi aku akui melihat dia mengenakan telekung solat atau tudung labuhnya, begitu mendamaikan jiwa.."
Izah segera teringat. Waktu itu Fasihah tertinggal bakul bajunya di bilik. Asalnya mungkin dia berkira-kira untuk membasuh baju tersebut. Ada dua helai semuanya. Jubah dan tudung labuhnya Kebetulan mungkin dia terdengar suaraku di bilik mandi itu. Ahh.. aku juga sebenarnya yang mulut luas, bising sahaja berborak dalam bilik air itu. Kebetulan aku terjumpa Zura, roomateku sesi lepas. Apa lagi, tentunya topik itu menjadi bualan. Aku tentang Dzikry dan Ikhwan, dan Zura kecoh sekali menceritakan mengenai teman chatting yang baru dikenali, Faiz. Baik dan romantik katanya.
Selepas Zura berlalu membawa bersama pinggan-pinggan dan mug yang katanya tidak berbasuh sejak dua hari lepas, Fasihah segera memanggilku dari dalam bilik air. Dia meminta tolong supaya mengambil bakul baju tersebut. Aku tidak kisah. Bukan aku tidak pernah meminta tolong darinya sebegitu.
Saat aku menyuakan bakul tersebut, dia membuka pintu bilik airnya. Dia berkemban, dan kelihatan agak kekok. Buru-buru dia mengambil bakul tersebut dan mengucapkan terima kasih padaku, lantas menutup kembali pintu bilik air. Sedang aku seperti tersihir. Dia amat cantik!!
Air mata Izah mula bertakung.
"Aku ini, nama sahaja Hafizah, Yang Terpelihara.. tapi tidak pun menggambarkan peribadiku.. entah apa yang terpelihara. Auratku kah? Pergaulanku kah? Ibadahku kah? Ahh..semuanya tidak!" Air mata Izah tambah melebat. Dia sedaya upaya menahan esakan tangisnya.
Dia merasa sudah lelah pada permainan dunia. Yang pasti, dia bukannya bahagia begitu. Ada juga dia berbincang-bincang dengan teman-teman se'kepala'nya. Hasil muzakarah, mereka mencapai kata sepakat : "Untuk apa menjadi hipokrit. Jadilah diri sendiri!" Awalnya dia bersetuju. Lama kelamaan dia mula goyah dengan doktrin itu. Itupun setelah bermesej dengan seorang ustazah, Ustazah Sakinah namanya. Ustazah Pendidikan Islam sekolah menengahnya dahulu.
Kata ustazah, "Hipokrit yang bagaimana dimaksudkan? Contohnya begini, kalau kita boleh memilih.. telur, beras, gred Exam umpamanya, mesti kita mahu yang gred A. Justeru itu juga dalam kita memilih halatuju hidup kita. Tentunya kita mahu semuanya yang terbaik, gred A. Ibadahnya, pergaulannya, pemakaiannya, semuanya gred A. Gred A dan sebagainya itu tentulah sudah ada dalam suluhan agama. Hanya kita selama ini yang hipokrit, memilih gred B, C dan sebagainya sedangkan hati kita sebenarnya mahu Gred A. Fitrah kita asalnya cenderung pada Gred A, kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah. Cuma kita yang menjadi hipokrit pada diri sendiri, menafikan kemahuan hati sendiri, ego pada kata hati sendiri!"
Selepas banyak berbincang dengan Ustazah Sakinah, aku seringkali memikirkan mengenai perkara ini. Cuma, untuk bertanya pada Fasihah, aku sebenarnya rasa malu. Dalam erti kata lain, egokah aku?? Ya, aku sebenarnya ego. Ternyata aku memandang rendah pada pelajar jurusan Pengajian Islam. Fikirku, aku jurusan Perubatan. Bagai langit dan bumi. Melangkah keluar sahaja dari universiti aku bisa memilih untuk bekerja di hospital manapun. Tiada istilah menganggur dalam kamus kehidupan seorang graduan perubatan. Namun aku lemah, aku kalah dalam menaksir makna sebenar sebuah kehidupan. Maka, jadilah aku seperti sekarang.
Mataku sudah menjadi umpama empangan yang pecah. Air mata tak tertahan lagi. Ternyata selama ini aku mengingkari fitrah, suara hati sendiri. Aku sebenarnya amat dengki pada mereka. Entahlah, susah untuk kugambarkan. Mereka manis dan sopan menjaga aurat. Persahabatan mereka bukan retorik, malah susah sekali untuk mendengar kata-kata kesat keluar dari bibir mereka. Apatah lagi untuk bergaduh, bermasam muka sesama mereka. Bergaduh kerana lelaki? Mempermainkan perasaan lelaki? Ah.. untuk mendengar nama seorang lelaki dari bibir mereka pun amat payah. Yang pasti, lelaki yang soleh tentulah untuk mereka. Mereka-mereka yang meletakkan agama dan Allah di tempat teratas, lebih dari segala-galanya. Sahabat, aku juga ingin sepertimu. Dalam ketenangan menghadapi hidup ini....
Di saat itu aku merasa akulah insan yang hina di hadapan Fasihah. Apatah lagi, aku merasakan akulah manusia yang paling kerdil dan hina di hadapan Allah. Umurku sudah 22 tahun, seperti juga Fasihah. Namun aku amat pasti, dia sudah jauh belayar ke lautan cinta Allah, dan mungkin sudah sampai ke pantai kemanisan iman. Sedang aku masih tersekat-sekat jauh di atas gunung sana. Muara masih jauh dalam genggamanku, apatah lagi untuk mula belayar di lautan cinta Ilahi dan tiba ke pantai kemanisan iman..
Fasihah bergerak-gerak. Aku segera menyapu air mataku, dan berpaling ke sisi lain. Fasihah bangun, melipat selimut, dan mengemaskan katilnya. Dia segera menuju ke bilik air bersama baldi dan tualanya. Tak lama kemudian, dia kembali ke bilik. Mengambil bakul bajunya. Azan Subuh berlagu syahdu bagi jiwa-jiwa yang hidup.
"Emm...... tak ke surau ke....." tuturku lambat-lambat.
"Emm..tak boleh solat pulak. Baru je.. Cadang nak basuh baju.. kenapa Zah?" Fasihah terkejut.
"Haa...takde apa-apa.."
Fasihah berlalu, dan aku berbelah bahagi. Cadangnya aku ingin bersamanya ke surau. Aku merasa tak kuat dalam keseorangan.
Tiba-tiba aku bangun. Kekuatan menerpa ke dalam jiwaku. Lalu mulai saat itu aku tekad! Saat aku melangkah kaki ke surau, meninggalkan bilikku pada fajar yang hening itu, aku bertekad untuk meninggalkan jua segala fitrahku yang songsang. Walau aku harus sendiri, aku ingin merasa indahnya hidup bertemankan Allah dalam setiap langkahan kakiku, dalam setiap hela nafasku. Ya! Inilah jalan hidupku yang ku cari-cari.
Sedang dari jauh ada sepasang mata memerhatikan. Ada air hangat mengalir di situ...
"Sesungguhnya Dunia dan Segala Isinya adalah Perhiasan.. dan Sebaik-Baik Perhiasan Dunia ialah Wanita Solehah..

No comments:

Post a Comment