Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Sunday 29 January 2012

Cebisan Hidup II

“Aku terima nikahnya Nur Zahratul Haura’ dengan mas kahwinnya 250 ringgit. Tunai.” Suara lelaki itu menyapa gegendang telingaku.

“Sah!” terdengar sahutan dari saksi. Alhamdulillah, bermula detik ini, saat ini, aku sah menjadi isteri suamiku, Muhammad Syahid Rifqi.

Beberapa detik kemudian, seorang lelaki berlutut betul-betul dihadapanku.
“Assalamualaikum..” Lelaki yang kini menjadi suamiku itu menyapa lembut. Lafaz salam menjadi pembuka bicara antara kami. Aku mendongak, berusaha menatap wajahnya. Perlahan tanganku ditariknya. Dimasukkan cincin bertakhtakan batu permata itu ke jari manisku. Seketika kemudian, dia mengucup dahiku lembut. Hangat dirasakan.

Majlis Akad itu diadakan sederhana dan ringkas sahaja. Yang pasti, menepati syariat. Lafaz Ijab Qabul telah dilafazkan, diri ini sah menjadi pendamping hidup sang suami.

   Tekadku di dalam dada, mudah-mudahan aku berhasil menjadi pendamping hidup yang terbaik buatnya. Aku bertekad ingin menjadi bidadari solehah yang bertakhta di hatinya. InsyaAllah.


    “Sayang.. Apa yang sayang menungkan tu? Jom kita turun. Ayah dah panggil dah tu. Nak solat isyak berjemaah. Sayang tahukan ganjaran orang yang solat berjemaah ni kan??”Suaranya menyapa gegendang telingaku lembut. Tutur katanya cuba diatur sebaik dan selembut mungkin.Aku hanya mengangguk sambil menguntum senyuman manis buat suamiku. Kami berbalas senyuman. Dia merangkul bahuku lembut.
     “Dah.. Pergi ambil wudhuk cepat..” Aku mengangguk sambil menguntum senyum sekali lagi. Dia mencuit pipiku manja sambil aku berlalu pergi ke bilik air.

“Alhamdulillah.. semua dah ada kan?  Jadi, kita boleh mulakan solat Jemaah kita sekarang. Erm.. Syahid jadi imam ya?” Ayahku menutur bicara. Suamiku mengangguk sambil mengulum senyum. “Boleh ayah..” Dua kata yang dilafazkan suamiku sebelum beredar ke tempat imam.

Saf diluruskan sebaik mungkin. Adik lelakiku meluruskan saf sebaris dengan ayahku. Ummiku, dan adik perempuanku pula meluruskan saf sebaris denganku. Seketika kemudian, suara suamiku terdengar merdu. Al-Fatihah dibacanya. Subhanallah! Aku terpegun. Alunan kalamullah itu dialun sebaik dan semerdu mungkin. Saling tidak tumpah seperti bacaan Sheikh Masyari Rashid al-Afaasi. Qari kegemaranku. Usai Fatihah, Surah al-A’la pula bergema.

Semua rukun solat dilakukan mengikut tertib. Usai salam, suamiku berwirid dan memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Makmum dibelakangnya hanya mengaminkan doa yang dipanjatkannya.

Selesai doa, keluargaku bersalaman sesama sendiri. Habis salam, ayah,ummi dan adik-adik bergerak ke ruang tamu. Membiarkan aku dan suami berdua di ruang solat. Aku tertunduk malu bila mata suamiku bertentang dengan bola mataku. Panah cinta jelas terasa.

Dia merapatiku. Dahiku dikucup perlahan. Aku membalas kucupannya. Ciuman singgah dipipinya. Dia tersenyum nakal. Aku menunduk malu melihat gelagat suamiku. Selang beberapa saat, aku meminta diri, berundur  masuk ke dalam bilik. Aku melipat telekungku kemas. Sejadah disidai di tempat penyidai.

Suamiku berdehem. Aku berpaling melihat wajah tampannya. Ya, memang suamiku tampan orangnya. Putih, tinggi lampai dan berbadan sasa. Dia kelihatannya menuju ke arahku. Sebelumnya, daun pintu bilik kami ditutup rapat. Butang kunci ditekannya.

Aku tersenyum malu. Memang hari ini adalah hari aku bermurah hati menguntum senyuman paling banyak dari hari-hari sebelum ini. Malu mungkin. Aku berjalan menuju jendela. Tingkap ku buka, membiarkan angin malam menyapa tubuhku. Seketika kemudian, pinggangku dirangkul erat. Rambutku yang ikal mayang, disisipkan suamiku ke tepi telingaku. Kemas.

“Sayang.. Terima kasih kerana sudi jadi isteri abang.. Abang bersyukur sangat kerana Allah kurniakan abang isteri solehah seperti sayang. Sudah lama abang impikan semua ini. Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga hasrat dan impian abang.” Suamiku membuka bicara.

   “Abang.. Tidak ada apa yang istimewa dalam diri sayang yang dapat sayang banggakan melainkan didikan agama yang telah ummi dan ayah terapkan dalam diri sayang sejak sayang kecil lagi. Penerimaan abang terhadap diri sayang yang serba kekurangan ni sudah cukup memberikan sayang kegembiraan. Tidak ada kata lain selain ucapan hamdalah dirafa’kan pada Ilahi diatas anugerah ini. Sayang bersyukur sangat dikurniakan suami sesoleh abang. Sayang bersyukur sangat-sangat.” Aku membiarkan tangannya merangkul pinggangku dengan lebih erat lagi. Dikucupnya pipiku perlahan sambil tubuhku disapa lembut angin malam.

    “Alhamdulillah.. Sayang… Abang lagi lah bersyukur kerana dikurniakan isteri seperti sayang.. solehah.. Sejuk hati abang melihat tingkah laku sayang,.. Erm, kita kan dah sah menjadi suami isteri, jadi, hidup kita saling melengkapi. Bila sayang merajuk, abang pujuk. Bila abang berdoa, sayang aminkan, bila abang merajuk, sayang pujuk abang balik. Kan??” Suamiku berkata dengan nada gurauan. Membuatkan tawaku berderai.

“Aah bang.. Romantikkan? Memang indah betul cinta lepas nikah ni..” Aku membalas mengiyakan kata-katanya. Aku memeluk tubuhku. Sambil mengusap-usap lenganku. Sejuk.

 “Sejuk ye sayang??” Suamiku bertanya nakal. Seakan-akan dapat membaca fikiranku. Aku mengangguk. Dia lantas menutup jendela. Angin malam berhenti menyapa tubuhku. Dia menarik aku ke katil. Lampu ditutup. Bermulalah kehidupan sebagai suami isteri antara kami.

    “Assalamualaikum pintu rahmat..” Suamiku menyapa di atas katil
“Waalaikumussalam wahai suamiku..” Aku menjawab lembut. Bermulalah segalanya dari detik malam pertama kami.

Impian kami, dengan berkat restu dan doa keluarga, akan lahirlah generasi yang akan menyambung keturunan kami. Diharapkan juga, penyambung keturunan kami ini akan berusaha keras dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah yang tiada hentinya. Ameen Ya Rabbal Kareem…


No comments:

Post a Comment