Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Sunday 1 January 2012

MENONTON FILEM DI PAWAGAM MENURUT PERTIMBANGAN FEQAH

AL-QARDHAWI: MENONTON FILEM DI PAWAGAM MENURUT PERTIMBANGAN FEQAH
Tarikh Edaran: 21 Mei 2011

Peranan dan pengaruh pawagam (tempat penayangan filem) telah tersebar secara meluas sejak akhir-akhir ini. Sesetengah pihak masih lagi berpegang kepada pengharaman (secara mutlak) menonton apa sahaja filem di sana, manakala didapati kebanyakan remaja meragui hal ini, dan sentiasa berkunjung ke sana dengan merasakan tiada apa-apa masalah pun yang perlu dirisaukan dalam hal ini. Oleh hal yang demikian, pihak manakah paling tepat dan benar dalam hal ini, sama ada semua pawagam perlu ditutup atau tiada masalahnya untuk menonton filem di sana? Dan apakah perkara-perkara yang perlu diambil perhatian sekiranya dibolehkan menonton filem di pawagam?

Hukum menonton filem di pawagam adalah tertakluk sepenuh kepada apa yang ditayangkan, dan secara hukum umumnya, adalah harus, dengan syarat; filem-filem yang ditayangkan tidak mengandungi unsur-unsur dosa, maksiat dan kemungkaran, di samping tidak menyebabkan kelalaian dari ibadah atau apa sahaja kewajipan agama, dan mestilah tidak bercampur antara lelaki dan wanita (yang bukan mahram).

Semua yang diterangkan di atas adalah ringkasan kesimpulan daripada apa yang dikatakan oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, dan di bawah ini, dinyatakan teks asal daripada fatwa beliau:

“Tidak syak lagi bahawa pawagam dan apa sahaja yang lebih kurang sama dengannya adalah satu alatan untuk menghiburkan diri, dan keadaannya adalah sama sebagaimana alat-alat lain yang sedia ada, sama ada digunakan dengan sebaiknya untuk kebaikan, atau digunakan untuk keburukan (kemaksiatan). Alatan ini tiada sedikit pun masalah padanya, yang dititik beratkan dari segi hukum, adalah melalui pelaksanaannya dan cara ia diaplikasi.”

“Demikianlah, kami (Al-Qardhawi) melihat kepada pawagam, ia adalah halal dan baik, dan berkemungkinan ia sesuatu yang dianjurkan jika memenuhi syarat-syarat berikut (sebaiknya):

Pertama: Setiap filem yang ditayangkan mestilah bersih daripada sebarang unsur-unsur dosa, maksiat dan kemungkaran, serta apa sahaja yang melibatkan ancaman kepada aqidah, syari’ah dan adab-adab Islam. Oleh itu, filem-filem yang berunsurkan keghairahan dunia (semata-mata), menggalakkan kepada dosa atau mempromosikan jenayah atau membawa pemikiran sesat atau menyeru kepada aqidah batil, atau apa sahaja yang kita sedia maklum (daripada kerosakan dan keburukan yang ditayangkan), maka ia (pawagam atau menonton wayang) menjadi haram kepada semua Muslimin.

Kedua: Tidak melalaikan daripada kewajipan agama dan dunia. Sebagai contoh; waktu solat lima waktu, setiap muslim tidak boleh sengaja melewatkan solat (seperti; solat maghrib) kerana filem yang disaksikannya. Allah berfirman: ((Celakalah orang-orang yang solat, yang mana sentiasa mengabaikan solatnya)), Surah Al-Ma’un, ayat 4-5, ditafsirkan “Pengabaian solat” adalah melewat-lewatkan solat sehingga terlepas waktunya. Inilah yang menjadi salah satu sebab, Al-Quran mengharamkan arak dan judi, kerana ia menjadi penghalang kepada mengingati Allah SWT dan juga penyebab kepada terhalangnya solat.

Ketiga: Perlu dijauhkan setiap penonton daripada bercampur gaul antara lelaki dan perempuan (bukan mahram), sebagai penghalang kepada sebarang fitnah, penyekat kepada sebarang kemaksiatan, terutama tayangan filem di pawagam yang hanya berlaku di dalam keadaan sangat gelap. Disebut di dalam hadis: “Seseorang yang mencucuk jarum besi di kepalanya lebih baik daripada dia memegang seseorang wanita yang tidak halal baginya”.

Wallahu’alam.

Artikel asal di dalam bahasa Arab, diterjemah daripada link ini:
http://www.qaradawi.net/site/topics/printArticle.asp?cu_no=2&item_no=3589&version=1&template_id=232&parent_id=17

sumber : http://www.qaradawi.net/site/topics/printArticle.asp?cu_no=2&item_no=3589&version=1&template_id=232&parent_id=17

No comments:

Post a Comment